Tanah anda selamat?
Oleh C Ramasamyrama@hmetro.com.my
BAGAI magik, di Malaysia, pemilik tanah boleh kehilangan hak milik mereka begitu saja.
Ini kisah yang berlaku 19 tahun lalu, tetapi kesannya masih menghantui jutaan pemilik tanah di seluruh negara sehingga ke saat ini.Boonsom Boonyanit adalah seorang wanita warga Thailand. Beliau memiliki dua bidang tanah, Lot 3606 dan 3607 di Mukim 18, Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan justeru, sering berulang alik ke Pulau Mutiara.Pada 11 Jun 1989, anak lelaki Boonyanit terbaca satu iklan di sebuah akhbar Thai yang meminta waris Boonyanit berhubung dengan sebuah firma guaman di Pulau Pinang. Dia, yang menghidu sesuatu yang tidak kena, menghubungi pejabat peguam ibunya di Pulau Pinang dan meminta siasatan dibuat terhadap iklan itu.Siasatan berkenaan mendedahkan sesuatu yang cukup mengejutkan Boonyanit sekeluarga. Ini apa yang sebenarnya berlaku: seorang yang menyamar dan mendakwa dirinya sebagai ‘Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit’ membuat satu akuan berkanun bertarikh 18 Jun 1988 mengatakan dia kehilangan geran asal kedua-dua bidang tanah berkenaan.Dengan menggunakan akuan itu, penyamar berkenaan mendapatkan satu salinan geran tanah yang disahkan pejabat tanah.Pada 6 April 1989, penyamar itu membuat akuan berkanun kedua. Kali ini, dia mengikrarkan nama Boonsoom Boonyanit dan ‘Sun Yok Eng @ Boonsom Boonyanit’ pada geran berkenaan adalah nama sama dan milik orang yang sama. Melalui perisytiharan itu, penyamar terbabit, yang memalsukan tandatangan, berjaya menjual tanah berkenaan dengan memindahkan hak milik kepada sebuah syarikat bernama Adorna Properties Sdn Bhd.Sebaik mengetahui penipuan itu, keluarga Boonyanit mengemukakan saman untuk mendapatkan semula tanah berkenaan yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.Jika pemalsuan licik itu mengejutkan, apa yang lebih mengejutkan adalah keputusan mahkamah dalam kes berkenaan.Saman Boonyanit itu didengar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Hakimnya, Vincent Ng Kim Khoay dalam keputusan bertarikh 25 April 1995 memenangkan Adorna. Boonyanit yang tidak berpuas hati kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan. Pada 17 Mac 1997, mahkamah itu yang disidangi Datuk Gopal Sri Ram, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim memberikan keputusan memihak kepada Boonyanit.Adorna kemudian memanjangkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Mohd Eusoff Chin, Datuk Wan Adnan Ismail dan Datuk Abu Mansor Ali dalam penghakiman bertarikh 13 Disember 2000 memberikan keputusan yang kembali memihak kepada Adorna.Bagaimanapun, tujuh bulan sebelum itu, Boonyanit meninggal dunia. Jadi, mendiang tidak hidup untuk mendengar bagaimana forum perundangan tertinggi dan terakhir negara itu mengesahkan penipuan dua bidang tanah miliknya sebagai sah di sisi undang-undang. Kesudahannya, Boonyanit kehilangan hak miliknya buat selama-lamanya.Atas asas apakah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu? Menurut pengamal undang-undang, kes Boonyanit pada intipatinya membabitkan tafsiran Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965.Dalam penghakimannya, Mahkamah Persekutuan berpendapat Adorna memperoleh hak milik (ke atas tanah Boonyanit) yang tak boleh disangkal kerana syarikat itu adalah pembeli bona fide (berniat suci) meskipun urusan itu melibatkan pemalsuan.Justeru, mahkamah berkenaan memutuskan Adorna mendapat perlindungan mengikut syarat yang terkandung dalam Seksyen 340(3) Kanun Tanah Negara.Tujuh tahun sudah beransur, namun sehingga hari ini, sebagaimana apabila ia diumumkan, penghakiman kontroversi Mahkamah Persekutuan itu terus dikritik pengamal undang-undang dan cerdik pandai perundangan.Mereka berpendapat penghakiman itu silap kerana syarat yang terkandung dalam Seksyen 340(3) bertujuan melindungi pembeli terkemudian dan bukannya pembeli serta-merta selepas berlaku pemalsuan. Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim, yang juga seorang peguam, membangkitkan penghakiman itu dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 November 2005 dan menyifatkan apa yang berlaku bukan keadilan, tetapi tafsiran mekanikal undang-undang.Beliau berkata, mahkamah hanya mengutamakan nama yang tercatat pada geran tanah dan mengesahkannya sebagai pemilik sah meskipun proses itu dilakukan melalui pemalsuan.“Tuan tanah sendiri tidak tahu tanahnya bertukar pemilik. Soalannya, apakah kerajaan pentingkan tafsiran mekanikal undang-undang ataupun keadilan,” soal beliau.Menjawab Zaid, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan memberitahu kajian mendapati peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negara memadai untuk melindungi hak pemilik tanah dan tiada pindaan diperlukan.Beliau berkata kesilapan yang berlaku berpunca daripada manusia semata-mata dan bukannya undang-undang.“Selepas mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan (berhubung kes Boonyanit), maka interpretasi Seksyen 340 dikembalikan kepada interpretasi asal,” katanya.Meskipun Sothinathan memberikan jaminan sedemikian, namun kebajikan pemilik tanah terus menjadi tanda tanya apabila, baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian, Datuk Zoal Azha Yusof berkata Kanun Tanah Negara perlu dipinda bagi melindungi hak pemilik tanah dan mengekang pemalsuan.“Adalah tidak adil hak pemilik tanah diragut. Saya akan membawa perkara ini kepada perhatian Peguam Negara. Tafsiran Seksyen 340 memerlukan penelitian semula,” katanya yang mengakui penipuan itu berkemungkinan turut melibatkan kakitangan jabatan berkenaan.Majlis Peguam Malaysia pula kini dalam proses mengkaji kelemahan peruntukan yang terdapat dalam Kanun Tanah Negara sebelum mengemukakan memorandum syor pindaan kepada kerajaan.Pindaan dicadangkan itu, antara lain, akan mengambil kira kepentingan pemilik asal tanah dan pembeli bona fide yang terpedaya dengan pemalsuan dengan menjadikan mekanisma pembayaran pampasan kepada mangsa melalui dana diasaskan kerajaan yang diguna pakai di Kanada dan Australia sebagai panduan. Sedang mahkamah, pakar undang-undang dan kerajaan berdebat mengenai Kanun Tanah Negara dan tafsiran Seksyen 340, penyangak tanah, yang menyedari ketirisan yang wujud dalam sistem, terus bermaharajalela.Malah, ramai menganggap keputusan yang diberikan Mahkamah Persekutuan dalam kes Boonyanit secara tidak langsung memberi lampu hijau dan memperligatkan aktiviti penipuan tanah di Malaysia.Sehingga kini, dilaporkan, di Kuala Lumpur dan Selangor saja berlaku sekurang-kurangnya 85 kes penipuan.Jabatan Pengaduan MCA, secara berasingan, mencatatkan 16 kes membabitkan tanah dianggarkan bernilai RM20 juta secara keseluruhannya termasuk sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong.Lebih banyak kes dipercayai berlaku khususnya di Melaka, Pulau Pinang dan Johor.Di manakah pemilik tanah terbabit akan mencari keadilan sedangkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk memiliki harta benda? Adakah mereka akan menerima nasib yang sama seperti Boonyanit? Perkembangan mutakhir membayangkan harapan meyakinkan untuk pemilik tanah yang menjadi mangsa. Satu penghakiman yang diberikan Mahkamah Rayuan pada 23 Mac lalu memberikan keyakinan mahkamah tidak lagi mengamalkan tafsiran mekanikal undang-undang, sebaliknya menjunjung keadilan. Dalam keputusan itu, dua daripada tiga panel hakim - Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk Mohd Raus Shariff - mengembalikan hak milik tanah kepada sepasang suami isteri yang kehilangannya akibat pemalsuan dokumen tujuh tahun lalu.Bagaimanapun, si suami, Ismail Mohamad tidak dapat mendengar perkhabaran gembira itu kerana sudah meninggalkan dunia manakala isterinya, Saadiah Abdullah pula dilaporkan sakit. Rasional nya adalah anda digalakkan melawat Pejabat Tanah Daerah setiap tahun untuk memastikan anda tidak kehilangan harta anda dan yang pasti Jangan Lupa Bayar Hasil Cukai Tanah....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment