Friday, March 28, 2008

Laksa Shack........Lolok...

SETELAH lengkap baratul isthihlal inilah hakir panjangkan kisah Tun Lepat bahawasanya hebohlah kebijaksanaan Hang Musa, gerau diraja Istana Melaka mengalahkan gerombolan tentera Siam dengan hanya setalam nasi minyak. Masyhurlah nama Musa al-Kadzim sehingga ramai rakyat Melaka dalam kalangan Orang Laut menganut Islam beramai-ramai. Oleh sukacita tiada terhitung; tidak lama kemudian Parameswara pun memanggil Hang Musa lalu dianugerahkan kepada mamak Tun Lepat itu sepersalinan pakaian baharu daripada kain kapas bermutu. Hang Musa juga dihadiahkan sebuah rumah yang lebih sempurna, pelupusan cukai kereta lembu, bekalan air bersih percuma sepuluh tempayan pertama dan pendidikan tanpa bayaran untuk Tun Lepat. Adapun untuk Bomoh Badin yang gagal ia mengusir tentera Siam dengan sihir hantunya; Parameswara telah memberi banji itu hadiah sebatang penyapu lidi.
“Apa gerangan diberi hadiah penyapu kepada kita, ibaratnya kita ini kijo tiada harga diri dan orang tiada adat budaya.” Maka sakitlah hati Bomoh Badin terhadap Parameswara tetapi paling sakit hati ia kepada Hang Musa, daripada sakit menjadi benci, daripada benci menjadi dendam, daripada dendam menjadi ia bertambah buruk kerana masuklah hasutan-hasutan liar dalam kepalanya setelah dicadangkan iblis setan. Permaisuri Kamarul Ajaib sendiri amatlah murka dan dukacita kerana suaminya Parameswara telah memeluk Islam tanpa pengetahuan baginda. Mana tidaknya, Parameswara sudah begitu berubah. Sehari-hari hanya ia belajar tajwid dan mengaji, sepanjang petang tiada lagi ia mahu main tom tom bak seperti biasanya, tiada juga ia mahu melayan badut diraja berbuat lucu di balairong seri. Kalau tidak, amatlah biasa Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib itu berhibur hati dengan jenaka bodoh Raja Lawak. “Kanda Param marilah main tepuk amai-amai dengan dinda.” Parameswara mengelak sahaja, “Cett, beta mahu bekerja keras untuk membangunkan Melaka. Ini supaya pengagihan kekayaan dapat berlaku dengan saksama.” Permaisuri Kamarul Ajaib menghentak-hentak kaki pada lantai istana. Baginda ingin memberontak geram. Mujur ada Mak Inang Zainab atau Dang Jenab menggetap bibir seraya merenung tajam baginda Permaisuri Kamarul Ajaib. Baharulah elok sedikit kelakuannya. Mak Inang Zainab itu pengasuh Permaisuri Kamarul Ajaib sejak kecil. Maka baginda permaisuri pun memanggillah anak menantunya Raden Jaya yang duduk menginap di Iskandar untuk menguruskan perihal Parameswara yang kini mahu ia menjadi mukmin abadi dan tiada lagi mahu menjadi munafik sejati. Adapun pertemuan itu amatlah tertutup. “Ampun tuanku bonda beribu ampun, apa gerangan tuanku bonda memanggil sahaya masuk menghadap di Melaka ini? Apakah ada banjir? Apakah ada taufan?” Adalah menantu Parameswara itu sebelum ini tiada ia mencampuri urusan negeri tetapi oleh permintaan bonda tirinya maka tiada nampak arah melainkan ia harus ikut terlibat jua. “Kanda Param sudah main kotor nampaknya. Ini semua gara-gara Hang Musa si tukang masak itulah. Kalau kanda Param diajak beta bergurau senda, ia hanya menjawab cettt beta mahu mencari damai abadi.” Permaisuri Kamarul Ajaib bemurung sahaja. Raden Jaya tiba-tiba naik baran. “Cis, sahaya hendak benar mencabar Hang Musa itu berdebat. Memang dasar ia itu beruk.” Tatkala berang Raden Jaya naik mencanak, ia pun bangun lantas menghunus keris kontotnya sambil menjulang keris itu ke udara dan bertempik, “Pantang sahaya dipermainkan tukang masak.” Adapun Raden Jaya itu isterinya ialah Puteri Cahaya Tembam Balam, yakni anakanda Parameswara hasil perkahwinan dengan seorang puteri kayangan. Nama manja Raden Jaya itu RaJim yakni huruf `ra' dan `jim'. Sementara Puteri Cahaya Tembam Balam itu hanya dipanggil sebagai Tengku Tembam atau Ku Bam. Nantilah hakir memerikan lagi darihal RaJim dan Ku Bam ini bila tiba masanya. Murnilah, maka damai abadilah kalau hakir menyerah ceritera ini kepada Tun Lepat sebagai empunya hikayat. Untuk lebih mudah memperkenalkan Islam, adapun mamak kita Musa Kadzim yang dipanggil orang Hang Musa pun menyusun ia rencana bijak supaya dapat mendampingi Parameswara dengan lebih baik. Adalah mamak mencadangkan supaya baginda Parameswara meminang anak perempuan raja Pasai yang sudah lama beragama Islam. Cantiknya nian, nama pun begitu damai abadi bila menyebutnya iaitu Puteri Paduka Rupawan Lo'Lo Ganish atau nama manjanya Cik Lo'. Adalah Cik Lo' ini bapanya Sultan Pasai ibunya pula puteri dari Kemboja. Sungguh rupawan Cik Lo'. Sesiapa melihatnya tentu merasa diri pungguk merayu merana penuh kerinduan. Kalau Cik' Lo turun dari singgahsana serasa bulan bersembunyi di balik banjaran Titiwangsa, tersangkut cahayanya di awan lantas turun cahaya itu di balik rimbunan pohon jitung. Cahaya itu kadang kaku di ranting, kadang ia melekat di celah awan terlepas melayah-layah turun ke pelosok kota hingga di pucuk-pucuk pohon termasuk bumbung rumah rakyat jelata. Mata kiri Cik Lo' itu bintang kartika, mata kanannya bintang belantik, wajahnya bintang peradah, bibirnya cahaya rimba raya tidak bertepi. Kalau dapat menatap wajah Cik Lo' umpama dapat melihat langit langsung kekal di depan mata. Bulu-bulu kecil pada tubuh Cik Lo' itu umpama kunang-kunang menyala seraya membisik `Allahuakbar'. Andai Cik Lo' itu bangun untuk tahajud fajar yang mahu menyingsing pun berpatah balik kerna segan lantas menjadi malam hitam. Andai ditanya apakah rahsia kecantikannya, Cik Lo' akan merendah diri tidak menjawab soalan, “Argh sesungguhnya Dia. Dia lebih karib daripada urat lehermu. Kerana kasih-Nya kepada kamu, Dia menciptakan semesta sekalian alam.” Maha Suci Tuhan. Adapun kepandaian Cik Lo' itu juga adalah memasak bermacam-macam lauk pauk dan makanan. Kata orang di Pasai, kalau dimakan sedikit lauk karya Cik Lo' itu pasti sang pemakan teruja sampai menari sambil menyanyi, `Can malican, can malican, can malican ketipung payung, di mana dia anak bulan saya, anak bulan saya ada di Titiwangsa.' Tatkala Parameswara pertama kali melihat Cik Lo' terus ia berpantun: Assalamualaikumlah salam, Sirih lipat pinang di dalam; Apa khabar bunga di kolam, Ada sekuntum kembang malam. Maka disahutlah pula oleh Cik Lo' penuh sopan walaupun hatinya sedikit cemas melihat tubuh Parameswara yang gemuk dan kulitnya yang gelap itu: Asuklah hitam bergigi emas, Ekor dia lilit ke sawa; Tubuhnya hitam kupeluk kemas, Rasa memeluk intan gemala. Sukacitalah hati Parameswara kerana isteri baharunya pandai mengambil hati. Paling pandai Cik Lo' itu memasak laksa Champa kerana bondanya dari sebelah Kemboja. Apatah pula di Melaka banyak sekali ikan segar. Setelah beberapa pekan bernikah dengan Parameswara, Cik Lo' pun turun mencemar duli ke dapur untuk sama-sama memasak laksa dengan mamak Musa. “Ketahuilah ayahanda Musa, orang Melayu itu jangan dipisahkan daripada ikan. Kalau orang Melayu berhenti makan ikan maka jadi bengaplah ia. Kerana itulah kuah laksa ini mesti menggunakan ikan. Adalah wanita yang sedang hamil itu kalau ia memakan ikan selalu-selalu akan ia mendapat anak dengan kemampuan bahasa dan bercakap yang lebih baik sebelum usianya lapan belas bulan. Adapun ikan itu memiliki kandungan asam lemak yang dapat ia menolong menyihatkan darah. Ikan itu juga elok manfaatnya untuk orang yang mengalami kesulitan percernaan.” Waktu itulah kita menunjukkan sedikit minat dalam hal masak-memasak ini lantas kita pun membuka mulut bertanya, “Tuanku Cik Lo' apa petuanya memilih ikan yang elok?” Cik Lo' tersenyum manis-manis lemak seperti kerepek pisang manis rasanya. “Adapun saat memilih ikan yang segar, carilah yang tubuhnya masih kenyal bila ditekan, sisiknya pula tidak mudah lepas, dan tiada ia berbau hamis. Pastikan mata ikan itu pun masih bening dan bukannya pucat atau cekung.” Maka kami bertiga pun menyediakan bahan laksa Champa. Adalah telur rebus yang tiada direbus terlalu keras, ada sedikit kubis, tauge dan cili padi. Untuk kuahnya itulah diambil enam ekor ikan kembung siap direbus. Ada juga santan kerana memang Melayu itu amat gemar lemak-lemak sedap. Adapula rempah ratus yakni lima penyuluh hidup iaitu pertama ketumbar biji, kedua lada hitam, ketiga serbuk kunyit, keempat limau purut, dan kelima adalah asam gelugur. Ia dinamai lima penyuluh hidup bersempena ahlul bait berlima iaitu Rasulullah, Saidatina Fatimah, Saidina Ali dan cucu baginda Nabi iaitu Hasan dan Husin. Itu disempurnakan pula dengan serai lalu dilengkapkan rasanya dengan garam dan gula. Terkecur liur kita membayangkannya. Kerana itulah barang siapa ia memakan laksa terkenang ia akan keluarga Nabi Muhammad. Kalau tiada terkenang jua maka dasar ia takbur dan angkuh terhadap keluarga Nabi. Dan kalau angkuh terhadap keluarga Nabi tiada lain tiada bukan terkutuklah ia sebagai muslim. Aduh tuan-tuan sedap sungguh laksa Cik Lo' itu. Maha suci Tuhan yang telah membersihkan ahlul bait sesuci-sucinya. Oleh suci itu barangsiapa sudah makan tengah hari pasti mengidam laksa waktu makan malam. Tiadalah susah amat menyiapkan kuahnya laksa cuma air tangan Cik Lo' itu memang lazat. Katanya jika ingin lagi lazat masukkan juga sayuran hiris mentah contohnya kacang panjang, daun kesum dan bunga kantan. Maka ikan itu diasingkan isi dan tulangnya, lalu ditumbuk-tumbuk mesra. Kemudian disatukan bahan kuah kecuali ikan di dalam periuk, dibiarkan ia mendidih agak manja. Sementara menunggu itu Cik Lo' mengajak kami berdua membaca asmaul husna supaya masuk rasa kasih sayang malikulmanan dalam makanan. Cukup sembilan puluh sembilan nama Allah disebut, maka baru dituang ikan ke dalam kuah lalu digaul sebati. Langsung dibiar ia mendidih dan kuahnya menjadi pekat. Sementara menanti mendidih dan siap kuah itu kami bertiga berselawat seratus kali. Laksa itu dihidang sekali dengan mi. Hidangan laksa itu pun diarak masuk ke kamar santap utama dengan sekian lembuara, dibunyikan nafiri, diiring dayang berpakaian pasparagam dan di belakangnya berjalan lenggang melenggang Cik Lo' sambil ia tersenyum serong-serong bahasa kepada Parameswara. Waktu itu Permaisuri Kamarul Ajaib yang sudah duduk di atas bantal untuk santap, gesit naik darah kerana memikirkan Cik Lo' tersenyum kepada suaminya. Baginda Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib pun sedia mengambil tempat. Permaisuri hanya menahan hati, tiada mahu ia menunjuk fiil di hadapan orang. Untuk menewaskan Cik Lo' harus ada rencana lebih beradab. Cik Lo' pun mengisi bahan laksa dan menyenduk kuah untuk Parameswara. Senyum sahaja baginda raja. Cik Lo' mengangkat sembah sambil mengenyit mata dan tersenyum lagi. Teganglah suasana antara dua perempuan Parameswara. Sebelum Cik Lo' menyenduk kuah laksa untuk Permaisuri Kamarul Ajaib, Puteri Paduka Rupawan Lo'Lo' Ganish pun menghulur tangan untuk bersalam, tanda berdamai abadi. Segera permaisuri mengalih muka sambil menepis tangan Cik Lo' kerana tiada ia mahu berdamai abadi. Akan tetapi Cik Lo' tiada ia mengalah melainkan tetap juga menghulur tangannya. Lagi sekali ditepis Permaisuri Kamarul Ajaib sampai bertepis-tepis di hadapan baginda Parameswara. Baginda Parameswara tiada nampak kerana asyik menyudu kuah laksa. Kalau tidak kerana Mak Inang Zainab atau Dang Jenab menjegil mata kepada permaisuri tentu sahaja tepis-menepis tangan itu berterusan sehingga petang, membawa ke malam, langsung ke siang esoknya. Akhirnya baru ia berjabat tangan hendak tidak hendak. Baharu itulah Cik Lo' menyenduk kuah dan laksa untuk Permaisuri Kamarul Ajaib seraya tersenyum-senyum perli. Adapun setelah Parameswara santap laksa itu baginda pun menggigil kerana kesedapan, langsung baginda mendapat hidayah, langsung baginda ingin bertaubat. Titah Parameswara, “Sungguh damai abadi memakan laksa ini. Beta memohon ampun daripada Allah yang tidak ada tuhan selain Dia. Yang Maha Hidup, Maha Mandiri, Maha Pengasih, Maha Penyayang, dan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan. Dan beta memohon pada-Nya agar menerima taubat beta sebagai taubat hamba manusia yang hina. Yang selalu tunduk, fakir, papa, miskin dan yang mengharapkan pahala, yang tidak dapat memberikan manfaat dan keburukan bagi dirinya, kehidupan ataupun kematian. Ya Allah beta memohon perlindungan-Mu daripada jiwa yang tidak pernah kenyang, dan daripada hati yang tidak pernah khusyuk dan ilmu yang tiada manfaat, dan daripada solat yang tidak terkabul, dan daripada doa yang tidak didengar. Ya Allah beta memohon kepada-Mu kemudahan setelah kesulitan, dan jalan keluar setelah kesedihan dan ketenangan setelah kesulitan. Ya Allah tidak ada pada beta ini kurnia kecuali-Mu, tidak ada Tuhan selain Engkau, beta memohon ampunan dan taubat kepada-Mu.” Berlinanganlah air mata Cik Lo', juga mamak kita. Ramailah pembesar menangis melihat kebesaran Allah oleh Parameswara itu bertaubat setelah kesedapan laksa. Ramailah yang bangkit dari duduk seraya bertakbir tiga kali dipimpin oleh Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar. Titah Parameswara lagi, “Moleklah laksa Champa ini diperkenalkan kepada rakyat jelata sementalahan kuahnya diperbuat daripada ikan. Beta harap dengan banyaknya penggunaan ikan maka permintaan terhadap ikan akan bertambah, dan dibeli dengan harga yang munasabah; sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup Orang Laut di Melaka ini.” Sungguh bijaksana ilmu iktisad Parameswara. Terjegil biji mata Permaisuri Kamarul Ajaib, serasa ingin bingkas bertempik seraya melondehkan kain kemban batiknya. Sungguh terhina rasanya. Geram hati Permaisuri Kamarul Ajaib tiada ingat. Malam itu segeralah dipanggil RaJim masuk menghadap. “Anakanda, tiada lagi dapat bonda bendung rasa hati ini.” “Sahaya tahu bonda. Inilah sahaya mencadangkan tiga perkara. Pertama, eloklah dibunuh Hang Musa itu dengan bantuan Bomoh Badin tetapi jangan dilakukan serta-merta melainkan pada saat semua orang leka jua. Kedua, eloklah bonda juga belajar memasak demi menyaingi kebolehan Cik Lo' Ganish itu. Belajar memasak yang senang-senang sahaja dahulu, sahaya akan ajukan teman sahaya yang juga seorang gerau, bernama ia Hang Mail Rebung. Dan ketiganya, demi menarik minat ayahanda tuanku yang sudah mulai minat kepada Islam eloklah bonda merancang untuk membina sebuah masjid daripada kaca yang dinamai Masjid Kaca Ajaib di Pulau Upih.” Permaisuri Kamarul Ajaib berasa aneh, “Tetapi untuk apa dibina masjid di Pulau Upih kerana tiada orang tinggal di sana, lagipun bukankah payah jusoh berkayuh dan berdayung ke pulau itu untuk sembahyang sahaja?” RaJim menepuk dahi, “Issyy bonda ini, adalah Masjid Kaca Ajaib itu bukan untuk ibadah melainkan untuk ditengok ditenung sahaja. Kalau ada saudagar asing singgah di Melaka untuk berdagang mereka boleh melawat-lawat dan melihat-lihat keindahannya. Maka Melaka akan mendapat pendapatan hasil lawatan untuk bersiar itu.” Tersenyum Permaisuri Kamarul Ajaib, “Pintar menantu tiri beta.” “Nanti kita juga naikkan sepanduk sekitar kota Melaka, sepanduk yang kononnya dari penduduk Melaka yang membantah titah tuanku ayahanda bahawa laksa Champa itu tidak sedap. Kalau kita dapat cari orang membantah dalam tiga ribu orang pun molek juga.” Tambah terpesona Permaisuri Kamarul Ajaib. Terujalah ia kerana ia mendapat sokongan. Tiada baginda menyangka, bukan semua sokongan itu menguatkan bahkan ada sokongan membawa rebah. Sementara tiba pekan hadapan, kecaplah sedikit laksa ini. Moga-moga tuan juga terkenang ahlul bait setelah itu, moga-moga tuan juga terus bertaubat sesudah itu.

Thursday, March 27, 2008

Nasi Minyak Tg Bidara Lawan Tomyam Kung

ARAKIAN cukuplah beberapa purnama Permaisuri Kamarul Ajaib dirawat di Rembau. Yang dapat menyembuhkan ia itu adalah Bomoh Badin yang begitu kuat main jin dan mambang. Kalaulah tidak kerana permainan sihir Bomoh Badin yang menghantar ribuan hantu dan jin untuk masuk ke dalam tubuh baginda permaisuri maka belum tentu dapat ia sembuh. Menurut ceritera orang Rembau, hampir lima ribu jin dipaksa masuk ke dalam tubuh Kamarul Ajaib yang dibaring telanjang; barulah baginda permaisuri itu sembuh. Dalam masa yang sama; yang empunya hikayat adalah Tun Lepat, ia menyatakan kepada hakir bahawa tentera Siam pun mara ke perbatasan negeri Melaka. Adalah yang menyampaikan kisah mengatakan tentera Siam itu mara ia memakai baju merah, baju hitam dan baju hijau menabrak masuk, langsung melumpuhkan segala bala tentera negeri kecil dan kampung. Oleh kerana penggawa dan penguasa di negeri-negeri itu heboh ia bertelagah merebut kuasa maka tumbanglah sekian negeri dari Kedah sampailah ke hujung banjaran Titiwangsa.
Tersentaklah Parameswara daripada lena, santap pun tiada lalu, maka baginda pun bergegaslah memanggil sekian pegawai termasuk bendahara supaya dapat masuk menghadap. Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar mengangkat sembah, menggeletar juga. "Ampun tuanku, sudah beta maklumkan kepada tuanku. Adalah Siam itu akan menyerang negeri kita yang masih belum begitu kuat ini tuanku. Ramai sungguh gananya. Ada ia berkumpul di Jerlun. Malah ada ia di mana-mana. Gandik Siam, Sri Maha Che Det mencungkil segala sejarah silam tuanku di Temasik. Ia mengatakan tuanku telah membunuh penggawa Temasek, ia juga mengatakan tuanku membunuh Dang Ranum..." Parameswara menghentak kaki langsung berdecit sedikit, "Cettt, beta sudah tahu sejarah sendiri. Apa mahunya gandik Siam ini?" Bendahara menghela nafas, serasa berat. "Menurut wakil Siam, tuanku tiada kuasa memerintah Melaka kerana negeri ini di bawah naungan Siam ketika tuanku datang mengambil sokongan Orang Laut." Parameswara terjungkit sedikit berasa murka. Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar yang sudah tua itu tunduk tidak berani mengangkat muka. "Apa lagi?" Tanya Parameswara menengking keras. Tersembur air liur muhtasyam baginda ke muka bendahara. Perlahan-lahan Dato Bendahara mengeluarkan sapu tangan mengelap mukanya yang agak basah. Dato Bendahara bersuara perlahan, khuatir jika disangka berbalik adab. "Adalah Siam menekan tuanku supaya turun takhta. Katanya tuanku tiada layak menjadi pemerintah Melaka." Berubah air muka Parameswara, "Mana ada tekanan. Siapa menekan beta? Kenapa beta harus turun takhta? Cettt, ini sudah lebih!" Parameswara bingkas dengan wajah terlalu murka dan meludah sirih dalam mulutnya. Dato Bendahara mengangkat sembah gamak-gamak. "Ampun tuanku, adalah Siam ini amatlah kuat. Tiada kuasa kita menentangnya." "Tapi beta tidak akan turun takhta. Beta degil Dato Bendahara. Beta jenis degil, apakah Dato tiada reti-reti?" Parameswara naik hangat dalam dada. Terasa lapar mahu makan pun ada. Baginda memintal-mintal misainya. "Patik amatlah tahu tuanku tiada mahu turun takhta. Patik menyembah rafak taat. Adalah kami segala pegawai istana ini bersama tuanku ketika susah, ketika senang jua tuanku." Begitu setia Dato Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar. Tiba-tiba masuklah baginda Permaisuri Kamarul Ajaib bersama Bomoh Badin. Masuk ia itu berlari-lari anak, umpamanya larian kecil Saadiah dalam filem-filem lama Jalan Ampas. "Kanda..." "Ooo dinda paduka liku beta." Maka di hadapan singgahsana, berdakap-dakaplah suami isteri itu kerana telah berpurnama tiada berjumpa. Bersedih-sedih dan berjujuh air mata ria. Tiadalah dapat digambarkan pertemuan dua kekasih yang sudah lama berangti. Seketika itu juga Parameswara menyanyi gita dalam bahasa yang kurang dimengerti. Gita disahut pula Permaisuri Kamarul Ajaib dan mereka menyanyi berselang-seli. Tatkala itu jugalah penari-penari keluar menari dengan baju yang tampak biru-biru lebam. Tarian tersebut kadangkala mereka mengangkat kaki serentak, kadang mengepakkan tangan bersama-sama. Sesekali mereka melaga punggung dan menunjuk jari telunjuk ke bumbung istana. Paling selalu rentaknya ialah menggelek kepala. Terdiam melongo seisi balai penghadapan melihat fiil itu tetapi tiada siapa berani menegur. Bahkan Dato Temenggung sendiri tergoyang-goyang badan ikut menari kecil. Tiada berapa lama kemudian setelah semuanya reda, berkatalah Permaisuri Kamarul Ajaib, "Kanda, adalah kita sudah sembuh, kita ini berjanji tiada lagi minum beram tapai." Parameswara mengesat air mata yang sedikit lagi akan menitis daripada pelupuk mata permaisurinya. Parameswara mengangguk-angguk mengiyakan. "Sudahlah dinda, beta memerlukan dinda di sisi. Ini bala dari Siam sudah pun tiba." Permaisuri Kamarul Ajaib, menoleh kepada balian kesayangannya. "Kanda, inilah bomoh yang tersohor. Namanya Bomoh Badin. Ia dapat membangkitkan hantu dari kuburan. Kalau kanda Param bersetuju, biarlah Bomoh Badin ini menjadi Dato Penyuruh Jaya buat kanda." Parameswara memandang Bomoh Badin. Menurut yang empunya cerita Bomoh Badin adalah tukang sihir yang terkenal sejak zaman Sriwijaya lagi. Hebatnya ia dikatakan pernah menunggang keladai di atas gelung Zuhal. Sudah tersohor jasanya dalam membangkitkan sekian hantu, dapat ia juga memanjangkan umur manusia, paling kurang ada lapan ribu manusia di zamannya dipanjangkan usia. Ia juga dapat menghentikan waktu. Semuanya sihir belaka. Gurunya Bomoh Badin ini adalah Haman dari zaman Firaun. Khidmat dukun aneh ini diguna oleh semua penggawa negeri kalau mahu menentukan atau meluaskan sempadan negeri. Rupa paras Bomoh Badin agak menggerunkan. Ia itu seperti berpijak di mayat kalau berpijak, seperti berkelubung kulit manusia dan berlumuran abu seraya ia memegang kilat bercahaya di tangan kanan. Dan cokmar sihir berkepala tengkorak yang batil penuh darah di tangan kiri. Gigi taringnya agak menganjur ke depan. Matanya menyala bengis penuh dendam, rambutnya perang berdiri tegak tetapi kulit mukanya tegang-tegang toyo kerana taksub memakan tempe. Kegemaran Bomoh Badin ini ialah memuja bau daging terbakar sambil mengasapkan stele terpahat tulisan yang tiada dimengerti. Parameswara yang sudah Muslim itu pun naik seram kerana wajah Bomoh Badin seakan-akan sami Aksobhya pengikut Bhairawa dari Barus. Tampaknya Bomoh Badin seolah-olah muncul dari sebuah negeri yang bising kerana bunyi hering. Naik bulu roma Parameswara naik panjang. Sekarang izinkan hakir menyerah kisah ini kepada Tun Lepat supaya dapat ia berbanyak beka: Kita memang ada dalam balai penghadapan ketika Bomoh Badin naik ke istana. Sungguh kita juga berasa gerun. Kita berdoa sesungguh hati kerana takut. Baginda Parameswara pun bertitah ingin menyiasat perihal Bomoh Badin. "Bagaimana kamu dapat membangkitkan hantu dari pusara untuk menentang tentera Siam?" Serak garau suara Bomoh Badin menggegar tiang istana, "Tuanku, patik ini orang yang biasa menyatu diri dengan Heruka." Bapa saudara kita, mamak Musa geleng kepala kerana semua ini hanyalah satu kepercayaan tahyul dan menyalahi akidah Islam. "Patik cuma berteduh di bawah sehelai daun kering. Untuk menyatu diri patik membiar darah busuk manusia tumpah ke kepala, meleleh ke dada sampai lalat hijau menghurungi muka tetapi tiada patik membiarkan hati ini menjadi sesat sebaliknya memujuk Heruka memasuki diri." Bomoh Badin menyembah cadangan. Sebetulnya Parameswara sendiri begitu seram oleh dukun yang kuat main mambang ini tetapi baginda tiada lagi tahu apa harus dilakukan kerana keputusan ilham. "Mungkin boleh cuba." Balas Parameswara antara yakin dengan ragu. "Tuanku boleh tuanku. Parameswara boleh." Sampuk Permaisuri Kamarul Ajaib. Parameswara pun gesit mendapat sokongan setia lain. Bangkit baginda, serasa punggungnya yang besar itu ringan dan segera ia mencapai keris panjang, dikeluarkan dari sarungnya dan dihunus ke udara sambil berherik. Tidak lama kemudian ia mengucup keris sampai tertonyoh ke mukanya. Tatkala itu bangun seisi istana bangun sambil bertepuk tangan dan melaung-laungkan, "Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hancur musuh Melaka!" Bergegar seisi negeri oleh laungan-laungan keras. Cuma kita berdua sahaja melekat punggung di atas bantal. "Astaghfirullah." Seru Mamak Musa menggumam. Kita berpaling kepada mamak dan mendengar mamak bersuara hampir berbisik kepada kita. "Duhai anakanda, ini adalah kemungkaran yang harus kita banteras bersama. Jangan menyembah cahaya seperti embun dan matahari, apatah lagi bulan dan bintang. Seperti rupa budak, jangan bermakam di ubun-ubun, atau di antara kening, atau di puncak hidung, atau di dalam jantung." Maka untuk dipendekkan kisah, Bomoh Badin pun menyediakan hantu untuk melawan tentera Siam di perbatasan. Tetapi tiada dapat menentang hantu itu akan tentera Siam. Mantera Bomoh Badin tiada menjadi, adalah hantu bertukar arah; berpaling semua menjadi tentera Siam. Kita tahu pada malam Jumaat sebelum pertempuran tentera Melaka dengan tentera Siam itu adalah mamak Musa kita bermunajat kepada Tuhan sampai air mata menitik-nitik. Tatkala Dato Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar masuk menghadap menyampaikan khabar berita kekalahan askar Melaka berserta hantu Bomoh Badin, murkalah Parameswara. "Ampun tuanku beribu ampun. Sembah patik harap diampun. Sudah patik katakan jangan digunakan hantu tetapi tuanku tiada mahu mendengar kebijaksanaan patik. Kalau Majapahit mendapat tahu, malu juga kita tuanku. Dikatakan orang yang kita ini tiada maruah kerana berlawan tidak seimbang." Bendahara mengambil peluang menyelar. Parameswara moyok mukanya. "Adapun tentera Siam amat hewang." Dato Bendahara bersuara lesu. Parameswara ingin memanggil Permaisuri Kamarul Ajaib dan Bomoh Badin masuk menghadap. Adapun tatkala itulah mamak kita, gerau diraja memberanikan diri segera menyanggah apa dalam fikiran Parameswara. "Ampun tuanku. Kalau patik dapat menghantar pulang tentera Siam ke negerinya dan meminta tangguh membayar ufti selama beberapa tahun apakah tuanku mahu mencuba pula jalan patik ini?" Mamak Musa berbicara pantas. Parameswara angguk sedikit tanda mahu mendengar lanjut. "Bagaimana?" Dato Temenggung yang turut ada kehairanan. Mamak Musa menjawab, "Itu urusan patik. Tetapi tiada ia melibatkan hantu, Insya-Allah." "Kalau boleh tuan buat begitu, maka dalam tempoh senggang itu molek kiranya tuanku kita semua belayar ke negeri China memohon perlindungan daripada serangan Siam." Dato Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar amat tertarik. Parameswara yang sudah lelah hanya mengangkat tangan tanda mengizinkan. Baginda sudah kehilangan daya memikir. Maka kita dan mamak pun masuk ke dalam dapur. Kita melihat mamak membasuh beras dan menyejatnya hingga kering. Kemudian dipanaskan pula minyak sapi di dalam kuali langsung ditumis bawang besar sehingga kuning. Ia diketepikan. Mamak menggoreng pula badam sehingga kuning. Ia diketepikan. Setelah itu mamak kita memasukkan kayu manis, buah pelaga empat biji, enam kuntum bunga cengkih ke dalam kuali lalu ditumis. Mamak Musa memasukkan pula beras dan menggaul sampai sebati. Akhir sekali dimasukkan air rebusan dan garam lalu dibiar ia sampai mendidih. Kita lihat mamak mengecilkan api sebelum memasukkan bawang yang ditumis tadi. "Apa ini mamak?" "Nasi minyak." Jawab Mamak Musa ringkas. Hidangan khas istana Melaka tersebut diarak dengan penuh gah, empat belas ekor gajah, dua belas ekor singa dan lima ekor harimau bintang mengiring. Mamak Musa berada paling hadapan menunggang kuda. Nasi minyak pun dipersembahkan kepada Ketua Panglima Tentera Siam. "Apa helah Melaka kali ini?" Panglima Tentera Siam malas-malas menemui mamak Musa. "Panglima, inilah nasi minyak. Sedap dimakan dengan daging berempah." Mamak kita bersuara yakin. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa. Panglima Tentera Siam berkerut, "Nasi minyak?" "Benar. Adapun Melaka ini negeri kaya sampaikan minyak pun kami masak bersama nasi. Minyak amat murah di negeri kami. Jadi, kami tentu dapat membayar ufti kepada Maharaja Siam." Panglima Tentera Siam terasa aneh tetapi mahu terus mendengar. "Kalau kami dibenarkan menghimpun sekian minyak, akan kami tukarkan ia menjadi emas dan perak lalu digubah menjadi bunga dan dihantar sebagai ufti kepada Maharaja Siam. Tetapi tuan mesti memberi kami tempoh masa dalam empat ke lima tahun untuk membuktikan kemampuan kami. Tuan mesti mencuba dulu." "Minyak apa lagi yang murah di Melaka itu? Kaya sungguh kalian sampai minyak pun digaul dengan nasi?" Mamak Musa mengemaskan sila di hadapan Panglima Tentera Siam, "Minyak lain yang murah harganya ialah minyak gamat, minyak pala, minyak urut, minyak lintah dan minyak kepala." "Minyak sawit?" "Minyak sawit selalu tiada." Panglima Tentera Siam pun mendapat isyarat jelas negeri Melaka. Maka fahamlah bala Siam yang Melaka mahu tunduk menyerah. Maka surat perjanjian pun ditandatangani yang Melaka berjanji akan menggunakan minyak untuk mengumpul kekayaan sebelum menjadikannya emas yang digubah sebagai ufti. Pulanglah tentera Siam berpaling ke utara tiada sedar mereka terpedaya. Suka citalah Parameswara tatkala dikhabarkan kejayaan mamak Musa membuatkan tentera Siam melakukan gencatan senjata. "Apakah rahsia kehebatan nasi minyak kamu ini Hang Musa sampai dapat melengahkan tentera Siam?" Soal Parameswara. "Tiada lain tiada bukan, solawat dan tawasul juga tuanku." Parameswara kehairanan. "Ampun tuanku beribu ampun, adapun jin tiada dapat menolong kita. Malah khurafat sahaja. Eloklah tuanku mendalami ilmu Islam kerana ternyata kepercayaan tahyul merosakkan kita. Islam suku-suku ini tiada benar tuanku. Yang dapat menolong kita hanya Allah, selain syafaat Rasulullah dan ahlul bait." Mamak Musa memberanikan diri bersuara. Terdiamlah Parameswara memikir. Masuk meresap dalam kepala. Begitulah kisahnya, akan tetapi tiadalah kita dan mamak ketahui kejayaan nasi minyak menghalang kemaraan Siam tiada disenangi oleh Permaisuri Kamarul Ajaib dan Bomoh Badin. Adapun mereka berdua merancang pembunuhan bapa saudara kita itu.

Wednesday, March 26, 2008

Dang Shakuntala....Gundik Ku Yang Pandai Masak Ikan Tuna

KATA sahibul hikayat yakni Tun Lepat, inilah hakir tukang menyampaikan. Syahdan setelah Parameswara menganut agama Islam, tiadalah banyak ia berubah. Melainkan ia tetap jua melangsungkan perangai zaman jahiliah dan tahyulnya. Janganlah tuan-tuan berasa hairan kerana apabila seseorang mengaku ia beriman, belum tentu ia beriman. Kerana iman itu ditunjukkan pada keelokan perangai. Keimanan itu tiada dapat diukur menerusi pengakuan semata-mata. Mengaku sahaja tiada menjadi dalil kerana segala jin pun boleh juga mengaku beriman tetapi hasil daripada iman itulah yang dapat kita jadikan ukuran.
Adalah Tuhan Rabbul Jalil pun ada menyebutkan hal ini apabila ada orang Badwi padang pasir mengaku ia beriman setelah mengucap dua kalimah syahadah. Maka Allah pun berfirman menegur, dan disampaikan kepada Nabi Muhammad yang menjadi paksi munasabah dalam alam yang fana ini; bunyinya ayat empat belas surah al Hujurat itu begini: "Orang-orang Arab badwi itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah kepada mereka: "Kalian belum beriman, akan tetapi katakanlah bahwa kami telah tunduk kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kalian."Adapun sudah beberapa purnama Parameswara itu memeluk Islam. Baginda telah merubah nama kepada Sultan Iskandar Syah. Ia memerintah Melaka dari tahun 1389 sampai tahun 1391 Masihi. Aduhai tuan-tuan, nama boleh sahaja berubah dan menjadi berbagai-bagai nama tetapi kalau perangai tiada elok dikata orang jua. Oleh kerana Permaisuri Kamarul Ajaib masih lagi belum pulih dirawat di Rembau, maka Parameswara pun jadi pening-pening ajai. Terkenang-kenanglah ia akan permaisuri yang suka melondehkan kain kemban batiknya itu. Maka jadilah Parameswara teramat rindu. Akan tetapi tiada ia mahu memanggil Permaisuri Kamarul Ajaib selagi tiada sembuh kerana bimbang pula ia kembali ke tabiat lamanya iaitu minum-minum tuak sampai mabuk tertonggeng. Suatu hari yang tiada cerah tiada mendung baginda Parameswara pun didekati oleh bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar yang bertanya kepadanya, "Ampun tuanku beribu ampun, inilah sembah patik harap diampun. Apakah tuanku besok mahu berangkat belayar ke pulau-pulau jajahan di pesisir pantai Melaka menabur janji untuk pembangunan?" Parameswara yang berasa bosan dan lesu tiada mahu terlibat apa pun melainkan tidur. "Sungguh panas negeri Melaka, selepas santap tiada lain boleh dibuat melainkan tidur juga. Inilah gerau kita Hang Musa itu pandai betul ia memasak. Kalau santap sahaja mahu tidur rasanya." Tun Perpatih mengeluh dalam diam. Kadangkala sewaktu bendahara Tun Perpatih muncul menyembah laporan darihal negeri, waktu itu jugalah Parameswara serasa mahu terlena. Kadangkala waktu Dato' Temenggung berkisah darihal kemungkinan Siam menyerang Melaka dan kebarangkalian Melaka membayar ufti kepada Siam, Parameswara pun terlayang dan tersengguk mengantuk. Kadangkala waktu Syahbandar masuk melaporkan perihal harga beras dari Pegu mulai mahal di Pelabuhan Melaka, Parameswara pun macam mamai. Ketahuilah Tun Perpatih yang Parameswara perlukan seorang isteri. Mungkin gundik sementara, buat menggantikan ketiadaan Permaisuri Kamarul Ajaib; kerana apa gerangan negeri Melaka mahu menjadi negeri cemerlang andai dapat seorang pemerintah yang lesu, dan tidak bertenaga serta asyik menguap pada setiap kali upacara. Akan tetapi apabila esok tiba, Parameswara pun berubah fikiran dan bertitah bahawa ia mahu keluar belayar ke pulau-pulau berdekatan. Maka sakitlah hati bendahara kerana semalam titahnya raja itu lain, hari ini titahnya raja itu lain pula. Sekejap ia bicara lain, sekejap kemudian bicara lain. Bohong sungguh Parameswara itu kuat ia makan siakap senohong gelama ikan duri. Adapun tuan-tuan adalah wajar Tun Perpatih berasa sakit hati kerana persediaan untuk baginda keluar belayar bukanlah calang-calang. Hendak disediakan jong dan jongkang seratus buah. Hendak disiapkan sampan lima ratus buah untuk mengiring. Hendak dinaikkan baginda itu bukan di atas kapal biasa. Adalah Parameswara mesti ia naik lancang pemujangan. Dalam lancang itu akan ikut naik segala perdana menteri, hulubalang, masing-masing pula dengan kenaikannya. Lancang tersebut tuan-tuan, rupa tiangnya seperti pohon kayu, rupa tunggul dan panji-panji seperti awan berarak, rupa payung segala raja itu seperti mega, kalau rombongan baginda keluar belayar maka tumpatlah rupanya laut. Akan tetapi apalah dapat dikatakan, hendak mengeluh pun tiada guna. Tun Perpatih dengan hati penuh geram mengikut sahaja. Sudah nasib orang Melaka yang tidak peduli diperbodohkan kerana mendapat pemerintah seperti Parameswara. Tatkala baginda datang ke kota itu, orang laut yang berpenghuni di Melaka telah gatal memilih Parameswara tanpa menggunakan akal. Maka kalau ada celaka atau petaka atau kesusahan hendaklah terima sahaja. Tiada dapat disalahkan orang lain. Maka disiapkan lancang kuning untuk baginda. Sekarang moleklah kiranya hakir memberi kepada empunya hikayat untuk bercerita. Adapun yang punya cerita adalah Tun Lepat bukan hakir juga. "Itulah berangkat duhai Hang Seleri, belayar rombongan Parameswara ke serata pulau berdekatan. Belayar rombongan itu sampai menuju ke Tanjung Tuan." Kala tiba di Tanjung Tuan, turunlah Parameswara ke pantai untuk bersiram dan berenang. Tidak semena-mena ternampaklah Parameswara seorang gadis pingitan teramat lengkap sifatnya umpama tujuh laksana. Tubuhnya kecil rendah rambunai. Mukanya bujur daun sirih. Dahi sehari bulan. Kening berbentuk taji. Hidung kuntum seroja. Telinga telipuk kayu. Rambutnya rosmah sahaja, mengerbang kembang. Pipi pauh dilayang. Bibir pati dicarik. Gigi delima merekah. Leher gamba dilarik. Dadanya bidang awak. Lengannya baur panah. Jarinya tombak serai. Pinggangnya secekak jari manis. Paha seperti paha belalang. Betisnya bunting padi. Tumitnya telur burung. Itulah cukup kita perikan, kalau berlebih-lebih tiada had nanti jatuh haram. Gadis itu bernama Dang Shakuntala, digelar orang di Tanjung Tuan - si Kuning kerana kulitnya kuning ketam, ia sedang mengayuh sampan menangkap ikan sambil bernyanyi berdendang: "Sepasang sirip tak terlihat, umpama ikan yang berendam, jadi rintik, rintik air ... menciptakan; ombak yang terpilu." Maka Parameswara pun terasa aneh akan syair yang baitnya sungguh tiada serasi dan masuk dek pendengarannya. Maka dititahkan hulubalang supaya dikejar gadis itu dan diperiksa siapakah gerangannya. Maka terjadilah adegan kejar-mengejar di mana Dang Shakuntala berkayuh amat pantas, ligat ia melompat sampai terselak kain kembannya. Terus ia berlari tidak jejak atas tanah, meniti di atas pucuk-pucuk pohon kelapa langsung dapat bersembunyi di kampungnya yang bernama Kampung Nekmat. Mengah-mengah hulubalang mengejar dari jauh. Parameswara sudah ia naik berahi kerana mengenangkan kecantikan Dang Shakuntala, disuruh juga mencari gadis tersebut meskipun ia isteri orang. Maka apabila bertemu, baginda tanpa segan silu serta tanpa berlengah pun memegang bahu dan lengan Dang Shakuntala yang terdedah itu, langsung dipaut pinggangnya, dan diramas tangan si Kuning tanda vanakam ia kerana sukacita selamat berkenalan. "Ampun tuanku beribu ampun. Apa hal tuanku memegang-megang mesra pacal begini sedangkan pacal ada mendengar tuanku sudah memeluk Islam." Begitu Dang Shakuntala berani menyelar Parameswara. Janganlah tuan-tuan berasa ajaib akan keberanian gadis Tanjung Tuan ini, kalau tuan-tuan rajin memakan ikan selar pun maka tuan-tuan akan berani menyelar raja, senekad tadi. Parameswara pun naik murka. "Citt, beta Islam bukan hari-hari. Depan gerau Musa itu beta Islam lah. Lagipun beta jenis lanang yang mesra dan suka pegang-pegang." Maka dipaksa, diculik dan dilarikan Dang Shakuntala dibawa pulang ke Istana Melaka. Adalah Dang Shakuntala belum ia bersuami tetapi tuan-tuan bukan ia tiada punya ibu bapa untuk dihayak ke sana ke mari tanpa kebenaran. Adalah haram perbuatan Parameswara. Kita ini orang Islam kalau bukan muhrim tiada izin Tuhan dan Nabi untuk memegang-megang begitu, apatah pula meramas dan menggosok bahu serta lengan seumpama tadi. Menangislah sehari-harian Shakuntala tiada ingat sampai ditadah air matanya bertempayan banyaknya. Rasa sedih sekali sampai sekian jin pun turut bermurung bermuram durja. Tiada Shakuntala mahu melayan Parameswara. Duduk sahaja ia dalam kamarnya menunjuk rasa. Diminta cium sedikit pun tiada mahu ia beri. Parameswara pun bertambahlah murka kerana tiada dapat gomol, langsung dipanggil Tun Perpatih bertanyakan apa gerangan Shakuntala berani mengada-ngada dengan raja. "Gundik beta datang bulan barangkali." Bendahara menggeleng tidak bersetuju: "Tuanku, ampunkan patik. Adalah sesudah disiasat patik dapati Shakuntala suka ia memasak-masak. Kalau tuanku dapat izinkan ia masuk ke dapur istana dan memasak bersama gerau diraja Sayyid Musa al Kadzim mungkin ada tolak ansurnya ia sesudah itu." Begitulah pendapat Tun Perpatih. Parameswara berseri wajah dan memuncungkan mulutnya seperti bibir ikan puyu. Baginda memanggil mamak kita masuk menghadap. "Wahai Hang Musa, kalau tiada Dang Shakuntala ini berlembut hati selepas belajar memasak dengan tuan di dapur maka akan beta perintahkan supaya anak saudara tuan yang bernama Lepat itu ditangkap dan digoreng masak kicap. Tiadakah tuan tahu beta ini juga sekali-sekala makan orang?" Serabutlah otak mamak kita memikirkan bagaimana caranya mahu memujuk Dang Shakuntala menerima Parameswara, kalau tidak matilah kita. Sangkanya Parameswara sesudah menerima Islam akan menjadi baik tetapi menjadi ia bertambah zalim. Janganlah tuan-tuan hairan, memang dalam sejarah Islam pun ramai raja yang Islam hari tertentu, kejam pula pada hari tertentu. Misalnya Khalifah Harun ar Rasyid tersohor sudah ia pemerintah yang kaya dan konon warak tetapi tiada pula dikhabarkan oleh juruhebah, dan diselindungkan hakikat ia itu kerjanya membunuh ulama. Antara orang alim yang syahid menjadi mangsa ialah Imam Musa al-Kadzim hidup ia antara tahun 128 ke 183 Hijrah. Jenazah alim itu dibiarkan terkujur di jambatan Baghdad tiga hari selepas dibubuh racun dalam bubur gandumnya. Semua atas titah Harun ar Rasyid kepada al-Sanadi bin Syahik, menteri hal ehwal penjara tanpa bicara. Masuklah Dang Shakuntala ke dapur, dan bersama-sama mamak kita ia pun memasak sejenis lauk kegemaran ayahnya. Sambil ia memasak menitiklah air matanya daripada sedikit menjadi banyak berjujuhan, oleh terkenang keluarganya. Dang Shakuntala memerapkan dua ekor ikan tongkol kecil dengan empat keping asam gelugur, diperap juga dengan sesudu besar garam dan dituang setengah cawan air mata. Ikan perap ditenggek atas dapur sampai kering airnya. Dibiarkan ia semalaman, barulah diasing dan dibuang tulangnya. Kemudian dipanaskan minyak lalu ditumiskan bawang, cili, dan daun limau purut sehingga ia masak. Setelah itu dituang sedikit garam dan ikan tongkol. Lalu dituangkan lagi setengah cawan air mata dan ditumislah sehingga kering. Adapun bahan tumis tadi sembilan tangkai cili hijau yang ditumbuk kasar dengan dua biji labu bawang besar dan empat helai daun limau purut. Maka siaplah sejenis lauk diberi nama tongkol perap tumis hijau. Kalau dimakan dengan lauk terung dan ulam-ulam seperti pucuk gajus dan pucuk bebuas, hati yang rusuh menjadi senang. Jiwa yang senang menjadi tenang. Adapun kala Dang Shakuntala itu sedang menyediakan lauk tadi, mamak kita pun memasuk jarum. "Apakah tuan mendengar seorang perempuan mulia diberi nama ia Asiah, telah ia menjadi penghulu wanita di sorga Tuhan?" Dang Shakuntala menggeleng. Mamak kita berasa sebak di hati. "Apakah tuan ini beragama Islam?" Dang Shakuntala menyahut. "Islam untuk semua bukan? Kita sedia menyahut Islam kalau ia agama yang baik dan penuh kebajikan." Mamak kita sayu di hati. "Apa yang tuan cari dalam hidup ini duhai anakanda Dang Shakuntala?" Tanya mamak kita. Bergenang air mata gundik Parameswara. "Kita bukan mencari harta bertimbun, kita bukan mencari uang berjuta, kita hidup bukan berfoya-foya mamak gerau. Kita ingin kenal Tuhan Rabbi, kita ingin kenal Nabi. Kita mahu ambil ia jadi panduan. Kita mencari damai abadi." Gesit mamak kita mencelah memintas syair yang teramat indah itu. "Sungguh damai abadi itu tiada ia di dunia ini melainkan ia letak di negeri abadi bernama akhirat.Adalah Tuhan berfirman dalam surah Hud ayat lima belas dan enam belas: "Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka telah usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan." Dang Shakuntala pun lagi menangis. "Apalah nasib kita ini mamak gerau. Bukankah tuanku Parameswara itu sudah masuk Islam? Apa gerangan kita ini ingin ditiduri juga secara paksa? Sungguh berahi dan kibar ia tidak ingat." Menangis jugalah mamak kita sambil ia menuturkan firman Tuhan pada surah at-Taubah ayat tujuh puluh tujuh: "Maka Allah menurunkan kemunafikan pada hati mereka sampai saatnya mereka menemui Allah, kerana mereka itu telah mengingkari apa yang telah mereka ikrarkan kepada Allah dan kerana mereka itu selalu berdusta." Dang Shakuntala mengesat air matanya, terduduk ia di ceruk dapur di celah periuk belanga sambil menampar-nampar pipi dan mengetuk-ngetuk dahi sambil hingus keluar dari lubang hidungnya. Habis mukanya yang lawa itu kena arang dan jelaga dapur. Mamak kita bersuara memujuk. "Anakanda Shakuntala, Allah ada mengatakan pada surah al-Baqarah ayat dua ratus enam belas: Dan boleh jadi kamu kurang menyukai sesuatu sedang ia berguna kepadamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia merosakmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." "Perikanlah perihal perempuan bernama Asiah itu." Tersedu-sedu Shakuntala. "Adalah ia perempuan mulia yang menyembunyikan keimanannya. Ia itu beriman kepada Nabi Musa. Di samping itu, ia menjadi isteri atau permaisuri raja negeri Mesir yang amat zalim. Ia beroleh keuntungan akhirat kerana kekal beriman. Adapun kalau tuan lepas pun adalah mustahil kerana Parameswara pasti mahu juga tuan menjadi gundiknya. "Baiklah tuan paksakan baginda bernikah dengan tuan dengan tempoh tertentu. Tuan yang meletak janji, Parameswara yang mesti memenuhi. Bila tamat tempoh maka tuan pun menjadi bebas dan bolehlah tuan kembali ke Tanjung Tuan bermain-main dengan ikan tongkol dan ombak yang terpilu." Kata mamak penuh pengharapan. Fahamlah Dang Shakuntala helah dan permainan mamak. Maka ia pun menganut agama Islam. Berjanjilah ia untuk kekal beriman di sebalik perangai Parameswara yang sentiasa berubah-ubah sekejap senonoh sekejap entah apa-apa itu. Maka dihidangkanlah lauk ikan tongkol perap tumis hijau kepada Parameswara. Teramatlah sedap rasanya kerana sudah ditumis dengan air mata Shakuntala. Gundik itu berbuat syarat kalau mahu ditiduri tiada boleh begitu sahaja kerana itu namanya zina melainkan bernikah jua sepertinya hal Zubair al Awwam dan Asma' binti Abu Bakar. Maka sukacitalah Parameswara, santap ia lauk ikan tongkol kemudian dibawa Dang Shakuntala ke kamar peraduan. Selang beberapa lama ia pun dihantar pulang ke Tanjung Tuan. Mujurlah tiada Dang Shakuntala bertembung dengan Permaisuri Kamarul Ajaib kerana pekan hadapan raja perempuan Melaka akan kembali dari Rembau.

Monday, March 24, 2008

Keajaiban Melaka Ialah Asam Pedasnye...


ARAKIAN perihal Permaisuri Kamarul Ajaib itu tiada ia berhenti minum tuak, tiada ia berperangai seperti manusia melainkan seperti beruk juga. Maka rungsing dan lampas Parameswara memikirkan darihal permaisurinya yang sudah tidak menentu fikirannya. Hendak diubat tiada ia tahu apa cara. Kala dipujuk supaya berhenti minum tuak sehari-hari, Permaisuri Kamarul Ajaib gesit menjawab, "Sampai hati kanda Param menuduh kita penagih tuak dan pemabuk tegar. Kita ini raja perempuan juga untuk negeri ini. Kita tahu kanda itu teringin hendak mengubah kita dan tiada lagi hendakkan kita. Lima dekad kita bersama kanda, tahulah kita kanda sudah tidak hendakkan kita." Sungguh merajuk sahaja nadanya.
Syahdan ingin hakir perikan di sini bahawasanya Parameswara itu bertegas ia menghantar Permaisuri Kamarul Ajaib ke sebuah kampung di Rembau, yang kelak dapat dipulihkan ketagihannya. Adalah di kampung ini terdapat orang yang berani merawat Permaisuri Kamarul Ajaib yang sudah tiada sejahtera itu lagi kerana ia asyik minum tuak. Orang tersebut tiada lain tiada bukan ialah Bomoh Badin. Nanti ada ruang dan peluang akan hakir perikan ceritera Bomoh Badin. Tetapi itu lain kali. Maka Parameswara pun bertitah kepada Permaisuri Kamarul Ajaib, "Kanda janjilahlahlah, kalau sudah dinda sihat nanti; maka pasti kanda akan menjemput adinda kembalilahlahlah." "Janji kosong belaka." Lekas balas Permaisuri Kamarul Ajaib murka-murka manja sambil nyaris melondehkan kembannya. Kalau terlondeh mungkin Parameswara tidak jadi menghantar Kamarul Ajaib ke solok hulu. "Ciittt, gunalah akal duhai dinda. Janji kosong itu hanya terbukti kosong kalau sudah berlaku ia, tetapi kalau belum berlaku tiada dinda dapat menuduh beta berjanji kosong. Untuk dinda tahu kosong atau berisi janji itu, hendaklah dinda beri peluang kepada beta dulu. Kalau betul tiada beta tunaikan janji barulah boleh dituduh beta berjanji kosong." Begitulah Parameswara menggunakan akalnya untuk berfikir, dan mengajak permaisurinya juga menjadi perempuan munasabah menggunakan akal. Malang, permaisurinya senget kerana mabuk maka tiada dapat berfikir waras. Bahawa dihantarlah Permaisuri Kamarul Ajaib ke kampung yang dapat memulihkan ia daripada ketagihan tuak, di zaman tuan-tuan adalah dinamakan tempat seumpama itu oleh orang putih, sebagai `rehab'. Langsung ditandu diarak dengan gajah bergading sepuluh hasta, kuda padi tujuh ratus ekor, dan empat puluh al-karkadann dipasang pada sumbunya dengan tanduk kerbau. Serta segala rombongan berinang berdayang semua. Ramainya rakyat yang dikerah dipaksa berbondong ke Rembau dari ufuk timur ke ufuk barat jika disusun. Maka dijulang dipasang segala panji dan dikibar segala jong sarat. Habis segala perbendaharaan negeri Melaka yang baru dibuka digunakan sampai terbazir berhabis semata-mata hendak menghantar Permaisuri Kamarul Ajaib. Orang tempatan pula diupah uang lapan belas dinar untuk menyambut ketibaan Permaisuri Kamarul Ajaib. Adalah seorang mak cik yang amat beradat mempertikaikan kehebohan rombongan diraja itu, "Apo namo e rajo betino Melako ni ha. Kepalo e kocik macam ponyu. Tapi yang menghantar e ghamai macam nak ghuntuh langit. Melampau-lampau lak ghaso e." Oleh marah mendengar kata-kata umpat tersebut Permaisuri Kamarul Ajaib yang memang sedang mabuk tidak ingat pun menitahkan mak cik tersebut disula dengan tanduk kerbau yang dipasang pada al-Karkadann. "Apa gerangan beta dibangkang digunjing dan dijujat seperti ini. Sampai dikeji beta ini berkepala kecil seperti penyu. Sakit hati beta. Siapa yang berani ia menfitnah beta, maka alamat rosaklah ia." Demikian titah Permaisuri Kamarul Ajaib sedemikian angkuh dan sombong. Akan tetapi tuan-tuan tiadalah dapat dipungkiri kalau Permaisuri Kamarul Ajaib itu hadir mabuknya akan ia terlonjak-lonjak dan terpekik-pekik sambil digawang-gawang tangan seumpama terlalu ganas, nampak ia seperti penyu pun ada, seperti monyet juga ada. Moga-moga kita doakan ia segera sembuh dirawat Bomoh Badin di kampung tersebut. Adapun dalam tempoh itulah mamak Tun Lepat pun mengajar dan memujuk Parameswara supaya ia menerima Islam sebagai agamanya. Namun tiadalah mudah. Amatlah liat akan Parameswara tersebut menganut agama Islam. Mamaknya Tun Lepat tahu benar yang Melayu itu kalau rajanya masuk Islam maka akan menurut belaka kemudiannya. Sekarang biarlah hakir minta Tun Lepat sendiri berkisah dan berhikayat perihal baginda Parameswara itu. Adapun anakanda Hang Seleri, bersungguh-sungguhlah mamak kita mengajak Parameswara itu menerima agama Islam. Saban hari saban masa tiada lekang mulut mamak kita menyebut akan kebaikan Islam supaya dapat menambat hati Parameswara. Oleh kerana baginda Parameswara yang gemuk itu amat gemar akan pantun maka mamak kita pun menyusun dua rangkap pantun berkait. Adalah pantun berkait saling ia tafsir-menafsir dan saling ia jelas-menjelaskan. "Al-Hassani wal Hussain, Wahai cucu Rasulullah; Wafat Hassan tinggal Hussain, Wafat perang sabilullah. Buah jambu dimakan kera, Dipetik Rukiah lari ke hutan; Ilmu itu bertiang tiga, Dialah cahaya penyuluh jalan." Parameswara pun terasa heran, lalu ia bertanya kepada mamak kita setelah menguap dengan mengangakan mulutnya. "Duhai gerau diraja, ilmu itu bertiang tiga, tiga itu apakah ia?" Mamak kita Musa al-Kadzim yang begitu allamah dan sabar sekali pun merenung Parameswara. Di tengah-tengah balairong seri Istana Melaka bergemalah suara mamak kita. "Adalah yang pertama Allah, adapun yang kedua Rasulullah dan yang mesti diketahui orang yang ketiga itu ialah ahlul bait atau keluarganya Nabi Muhammad kerana baginda sebagai utusan Allah tiada ia bersabda melainkan kerana mendapat petunjuk dari Yang Maha Esa. Ada hadis mengatakan keluarga Nabi umpama bahtera Nuh. Kalau ditumpangi maka selamat dunia akhirat, kalau ditinggalkan nescaya karam dunia akhirat. Bunyinya hadis itu seperti ini: Sesungguhnya perumpamaan Ahlulbaitku di tengah-tengah kalian bagaikan bahtera Nuh, barang siapa menaikinya ia selamat dan barang siapa meninggalkannya ia pasti tenggelam. Dan sesungguhnya perumpamaan Ahlulbaitku di tengah-tengah kalian bagaikan pintu pengampunan di kalangan bani Israil barang siapa masuk ke dalamnya maka ia pasti diampuni." Parameswara pun berkerut tetapi lagi tertarik untuk mendengar. "Duhai Musa adalah beta ini lagi mengantuk kerana beta bekerja keras setelah membangunkan negeri Melaka. Biarlah beta tidur sekejap. Bila beta bangkit kelak beta ingin makan, lauk pauk yang sedap-sedap juga." Berangkatlah Parameswara ke kamar beradu dan cepatlah ia lena. Maka mamak kita pun segera mencipta lauk baru yang sedap dan mengecurkan air liur kalau kita mengenangkannya. Masuklah mamak kita ke dapur. "Apa makanan kali ini mamak?" Tanya kita tidak sabar-sabar. Mamak kita hanya diam. Tekun ia menyiang beberapa jenis ikan. Adalah banyak ikan ditangkap oleh nelayan yang memang ramai di Melaka pada waktu itu. Kota Melaka belumlah lagi menjadi kota pelabuhan yang masyhur. Hanya dipenuhi penghuni terdiri daripada orang laut belaka. "Ayuhlah Lepat, tolonglah mamak menyiang ikan yang ada ini." Bekerjalah kita menolong mamak dengan ikan parang, ikan tenggiri, ikan merah dan ikan terubuk. Mamak kita menyediakan pula cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur, serta daun limau purut. Cekatan sungguh cekatan, mamak kita cekatan mengisar dan menumbuk cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan sampai semuanya lumat. Serai dan lengkuas itu pula disuruh kita ketuk, dan bunga kantan diminta kita belahkan jadi empat. Ayahanda mamak pun menumiskan semua yang telah dikisar dan dimasuk pula lengkuas ke dalam periuk. Naiklah baunya dan garing ia tetapi tidak pula hangus. Adapun bau itu terapung-apung merebak sampai jauh. Menurut riwayat adalah baunya menjalar sampai ke kota Ayuthia di Siam. Tahulah raja Siam, musuh yang telah membunuh sekutunya di Temasik sudah elok bersemayam di Melaka. Hendaklah ia menyusun bala tentera untuk menyerang Melaka dan memaksa negeri baru itu tunduk membayar ufti emas dan perak. Adalah mamak pun memasukkan air asam jawa ke dalam periuk. Seekor demi seekor ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih dalam belanga berlainan. Kemudian mamak masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut. Kita melihat sahaja setiap kelakuan mamak. Terbeliak mata kita kerana melihat mamak membuka lipatan sehelai kain. Dalam lipatan kain baldu itu ada sehelai janggut yang amat halus putih kelabu. Tanpa lengah mamak pun memasukkan janggut sehelai ke dalam periuk. "Apa itu mamak? Apa ia racun?" Kita bingung berasa pelik. "Cuss walad, ini bukan racun tetapi janggut seorang imam yang mulia. Moga-moga Parameswara akan menerima Islam. Berdoalah. Sesungguhnya, ad-dua-u- mukhkhul `ibadah yakni doa itu otaknya ibadah." Siaplah sejenis lauk yang tiada taranya sampai bila-bila. Sampai kiamat pun lauk masak asam pedas itu teramat sedap kalau dibandingkan dengan apa pun. Kalau dimakan malam-malam, panas-panas pula tentu berpeluh-peluh. Maka tak dapat digambarkan kelazatannya. Turunlah sekian mambang dari kayangan untuk ikut makan sekali. Berkumpullah sekian jin ingin makan sisa tulang-tulang ikan itu. Bergoyang segala bulu di badan kalau dimakan asam pedas. Tersohorlah lauk masak asam sampai serata Nusantara, tersebar ia hinggakan bangsa India Merah di bumi yang tiada berpenghuni pun mengetahuinya. Aduh, tuan-tuan issyyyy kalau dicicip sekali, terasa ingin menangis pun ada. Kalau disudu sedikit, terasa ingin berteriak pun ada. Kalau dihirup banyak, maka rasa macam-macam terus. Bangkitlah baginda Parameswara daripada tidur. Terbaulah masakan yang amat menusuk. Santaplah baginda sampai berpeluh ketiak, pelipat, dan kelangkang Parameswara tatkala menghirup slurrppp lauk asam pedas itu. Sukacitalah Parameswara oleh lauk yang menyebabkan ia terkentut sekali-sekala kerana adalah diperikan baginda itu susah buang angin. Sesudah makan sampai kenyang Parameswara macam biasa terasa ia amat mengantuk. "Beta sudah bekerja keras sepanjang hari, beta rasa letih dan ingin beradu." Mamak kita hanya bersabar sahaja dan mengangguk. Tidak lama sesudah Parameswara tidur, bermimpilah ia seorang tua yang wajahnya bercahaya muncul memujuk. "Terimalah Islam anakanda." Kata orang tua tersebut dengan nada penuh haru. "Apa sebabnya ingin kita terima agama ini?" Soal Parameswara lurus-lurus bendul. Orang tua pun lagi bersyarah, "Adalah Islam itu agama kebaikan dan kebajikan. Kalau tuanku melakukan kebajikan dan kebaikan kepada rakyat maka akan datanglah keselamatan dunia akhirat, keamanan dunia akhirat, dan kemakmuran dunia akhirat. Akan tetapi mula-mula hendaklah tuanku menerima Islam itu agama kebajikan dulu. Kalau tuanku tiada menerima itu mana akan datang selamat, atau aman dan makmur? Sahaya ini hanya orang yang menyebarkan agama Tuhan sahaja seperti dituntut dalam kitab suci pada surah Ali Imraan ayat seratus empat, `Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.' Begitulah tuanku caranya." Paramewara yang sedang lena tiada ia sedar akan punggungnya yang besar tersungkit setengah inci dari ranjang kala mendengar perkataan `untung', mana tidaknya adalah baginda itu hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata. Belum ia nampak keuntungan akhirat. Orang tua tersebut pun segera menambah, "Tuhan kita berfirman dalam kitab suci, pada surah an Nisa' ayat seratus mengatakan, `Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela dan menegakkan Islam, nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati dalam perjalanan, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.' Maka tuanku, kalau menerima Islam sebagai agama kebajikan dan kebaikan barulah datang untung. Oleh kerana itu hendaklah tuanku berubah dulu, berhijrah mengambil Islam sebagai agama." Sebaik sahaja ayat tersebut selesai orang tua itu pun menghilang. Parameswara tiba-tiba terjaga, dan katil di sisi jendela kamar beradu terbuka bersama embun dinihari. Baginda terlihat bulan mengambang penuh di langit malam dan tertulis dalam jawi: Terimalah Islam, Pasti Anakanda Selamat. Tercenganglah kehairanan Parameswara, bila dilihat dalam sarwalnya basah amat. Baginda menyangka ia mani tetapi bukan, rupa-rupanya baginda terkencing malam. Namun lebih ajaib, bila ditelek ditenung sedarlah baginda kalamnya telah elok dikhatan. Tiada lagi kalam kulup. Sungguh Parameswara terpinga-pinga. Tatkala baginda mengangkat muka memandang langit malam kembali, ada tulisan syahadah. Baginda pun menyebut dan mengulang-ngulangnya. Begitulah baginda Parameswara menganut Islam. Ajaib memanglah amat ajaib. Apa tidaknya, bukankah kita di Melaka? Apa yang tiada ajaib di Melaka? Tuan-tuan tibalah waktu makan. Tentulah kita akan mencari lauk asam pedas. Kalau ia sedap janganlah tuan-tuan lupa adalah tentu lauk itu ada janggut orang alim sebagai bahan penyedapnya. Kalau ia tiada sedap, ada kemungkinan janggut orang yang tiada patut sudah masuk ke dalamnya. Jangan tuan-tuan ketinggalan mengikuti hikayat kita Tun Lepat pada pekan hadapan. Belum kita babadkan lagi kisah gundik Parameswara, Dang Shakuntala. Tunggulah, tunggulah...

Friday, March 21, 2008

Parameswaran Yang Mabuk...

ADAPUN tuan-tuan, Parameswara dan rombongan telah terserempak dengan seekor pelanduk yang amatlah perkasa sampai ia dapat menerajang dua ekor anjing besar milik Parameswara; terkehel tulang buntut anjing-anjing itu. Seperti yang tuan-tuan belajar dalam buku teks sejarah, kononnya negeri Melaka itu dibuka oleh Parameswara. Sebenarnya hal ini bohong belaka. Sebaliknya yang benar adalah Melaka telah pun berpenghuni ketika itu. Orang yang mendiami negeri Melaka dipanggil 'orang laut' kerana mereka bagai nomad bergerak dari satu pantai ke satu pantai menangkap ikan. Maka menurut empunya cerita, terdapat beberapa ratus orang laut yang menetap di pantai Melaka pada waktu Parameswara itu tiba.
Hal ini hanyalah diketahui oleh Parameswara apabila baginda dan pengikutnya meneroka pesisir pantai. Di situ, Parameswara telah terserempak dengan seorang lanang tua lebih 100 tahun usianya yang menjadi pemandu kereta lembu awam di kota. Lanang itu yang tiada pernah ia melihat Parameswara telah menghentikan keretanya lalu bertanya dengan nada yang begitu rais sekali, "Adik ni pertama kali di Melaka ke?" Lanang itu tidaklah ia tahu yang Parameswara itu seorang raja yang baru dihambat keluar dari negeri. Maka Parameswara pun menjawab, "Haah." Untuk baginda mengorek pelbagai rahsia maka Parameswara pun pura-pura menumpang kereta lembu itu untuk bersiar-siar sambil mendengar lanang itu menceceh merepek meraban. "Siapa yang dah lama duduk dalam kampung ini tahu, mimpi dan angan-angan ini macam intan berlian tapi akan pecah terbarai macam tembikar murah jika tidak dijaga. Kita semua ada mimpi dan angan-angan, inilah yang jadi harapan." Heranlah terlalu heran Parameswara betapa lanang itu sangat suka berbicara darihal mimpi dan berangan. "Siapakah pemerintah negeri ini?" "Penggawa negeri ini sedang tidur, ia hanya bangun sekali-sekala." "Apa gerangan penggawa kamu tidur lama-lama begitu?" Tanya Parameswara kehairanan. "Entahlah. Tiada kita mempersoalkan apa-apa saja perbuatan penggawa kita." Parameswara pun tersenyum, tahulah ia, tempat ini amat subur untuk dijadikan negeri, kerana andaikan saja mendapat rakyat seperti lanang tua ini. Tiada ia mempertikaikan apa-apa perbuatan. Sementara penggawa Melaka itu belum bangkit daripada tidur, Parameswara pun segeralah menjalankan gerakan siasahnya. Baginda pun menyeru penduduk Melaka yang jumlahnya tiada berapa ratus itu supaya menggulingkan penggawa mereka. Parameswara dan pengikutnya segera memukul canang untuk menjadi pemerintah Melaka. Baginda juga berjanji untuk memberi kesejahteraan buat negeri yang pada waktu itu hanyalah sebuah kampung kecil. "Beta akan membina jambatan di kota Melaka." "Tapi tuanku, di kota ini tiada sungai untuk apa dibina jambatan?" Balas orang laut yang ramai-ramai tercengang, amat kehairanan. "Kalau tiada sungai, beta binakan sungai supaya dapat jambatan dibina." Maka semua pun terasa begitu agung sekali Parameswara itu. "Apa lagi yang tuanku boleh lakukan?" "Menghantar kamu ke angkasa pun beta dapat kerana beta ini keturunan Demang Lebar Daun yang turun dari kayangan." Maka ramailah keluar menyatakan sokongan padu. Naiklah Parameswara menjadi raja baru di negeri Melaka. Setelah itu pun dibina istana. Baginda pun mengisytiharkan diri sebagai raja Melaka yang pertama. Gelar dan nama penuh baginda ialah Sri Maha Paduka Biku Parameswara Renjana. Adalah isterinya Ratu Kamarul Ajaib itu dijadikan permaisuri dengan menggunakan nama dan gelar Permaisuri Paduka Liku Kamarul Ajaib Nerina Lara. Kemudian rakyat negeri Melaka pun dikerah menggali sungai yang dalam sekali; siap dengan muara dan hulu. Maka ramailah yang mati kerana sungguh lelah pekerjaan itu. Kerana itulah pada hemat kita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di zaman tuan-tuan patut menamakan sungai Melaka itu sebagai warisan dunia dan salah satu benda ajaib seperti Piramid dan Tembok Besar Cina. Adapun cukuplah panjang dan lebar sungai untuk dimasuki sekian geliung, kapal dan bahtera. Inilah sungai Melaka yang tersohor kelak sampai menjadi ia sebuah pelabuhan bertaraf dunia. Adapun untuk ceritera berikutnya moleklah hakir berikan kepada Tun Lepat sendiri untuk meneruskan hikayat. Adalah kita pada waktu itu amatlah sukar sekali kerana hanya kita dan mamak sahaja yang beragama Islam. Pada suatu hari yang ranggi sahaja, Parameswara memanggil kita dan mamak menghadap masuk. Pada singgahsana yang liplap liplap warna, tempat duduknya pula dipakang dengan pakan emas bersemayamlah Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib dengan dayang-dayang mengipas-ngipas baginda dengan kipas besar bagai daun pokok mengkuang. "Duhai Musa dan anak buahnya, adalah beta merasa risau akan orang laut ini kerjanya asyik bergaduh. Perangai mereka serupa binatanglahlahlah. Maka beta memikirkan satu cara untuk Melayu itu menjadi ia santun, beradab, majlis dan jikalau berunding itu ia saling hormat-menghormati dan tidak pijak memijak." Titah Parameswara panjang, hampir-hampir senafas. Adapun untuk tuan-tuan yang menyangka Parameswara itu kacak umpama Amitha Bachan, atau mungkin ia tersenyum penuh syahdu seakan-akan Shah Rukh Khan, melesetlah segala sangkaan itu. Adapun Parameswara itu selain bermisai lentik, amatlah gemuk ia. Perutnya sahaja entah berapa tahil beratnya. Buntutnya lebar macam kawah dodol. Kepalanya botak tetapi memakai rambut palsu daripada bulu kambing hitam. Matanya tajam dengan alis yang hitam. Baginda itu sedikit juling. Ada iras-iras ia bintang filem Rajakumari dan Rickshakaran di zaman tuan-tuan, yakni yang bernama ia Marudur Gopalamenon Ramachandran atau nama manjanya, MGR. Ratu Kamarul Ajaib segera menyampuk, "Ahh kanda Param, apa susah-susah mencipta istiadat dan makan untuk orang yang sedang berbincang. Adalah yang patut, ketika orang berbincang itu biar ia mabuk-mabuk. Lagi mabuk lagi tentu bincangnya. Beta ingin mencadangkan supaya orang yang sedang berbincang itu dibikin satu minuman supaya dapat kepalanya senget. Maka bila ia lupa dan tiada sedarkan diri waktu itulah kita ambil kesempatan dan kita bolot apa yang tiada kita dapat." Parameswara menggeleng kepala. "Sudahlahlahlah kita bermuslihat seperti itu. Sejak kita di Palembang membawa ke Temasik begitulahlahlah caranya. Hendaklahlahlah ia diubah supaya lebih senonoh jua." Adalah jangan tuan-tuan merasa pelik kenapa tiba-tiba Parameswara itu sedikit aneh bahasanya, kerana ia tiada lain tiada bukan; mabuk juga. Sendawa ia errrkkkkk berbau tuak nasi seperti nasi goreng basi baunya. Mana tidaknya, Parameswara itu sudah ia minum tuak setempayan kerana menurut Permaisuri Kamarul Ajaib, minum tuak itu boleh selalu bertenaga sentiasa. Seperti yang kita tahu permaisuri itu selalu ia kibar. Tuak Kamarul Ajaib itu tuan-tuan diperbuat ia daripada sejenis beras dipanggil beras pulut. Maka beras tersebut akan direndam ia bersama air di dalam tempayan. Lamanya merendam itu sampai dua pekan sebelum ia diminum dan beras tersebut ada juga dijadikan sejenis makanan, dipanggil ia tapai. Kadang diperbuat ia dengan beras pulut, dicampur sedikit dengan gula pasir supaya rasanya manis. Itulah Parameswara sudah minum ia satu tempayan, maka mana tidaknya ia pening-pening dan mabuk teramat sampai ia sentiasa berlah-lah-lah bila berbicara. "Adapun tuanku adalah tuak itu ada ia sejenis benda yang menyebabkan manusia yang meminumnya mabuk, jika mabuk bagaimana hendak berbincang?" Mamak kita membantah. Dalam benaknya terkenang ia hadis riwayat Ummu Salamah isteri nabi bahawa `Rasulullah telah mencegah daripada meminum semua minuman yang memabukkan dan melemahkan fikiran. "Argh lima peratus saja bahan mabuk itu. Lima peratus saja, apalah sangat berkira tuan ini. Lima peratus pun tiada boleh." Ratu Kamarul Ajaib segera meningkah. Seakan-akan baginda tahu apa dalam fikiran mamak kita. Tatkala menyebut `lima peratus' itu dijerit-jerit sehingga menyembur-nyembur air liurnya menyinggah-nyinggah di seluruh muka. Parameswara tiada ia melayan saranan isterinya. "Pulanglahlahlah, carikan satu istiadat atau makanan kalau Melayu itu berbincang ia menjadi hormat dan molek belaka kerana Melayu ini penuh santun dan falsafah jugalahlahlah." Harulah mamak kita memikir. Andaikan ia tiada dapat mencipta satu makanan tatkala Melayu itu berunding maka takut pula saranan Permaisuri Kamarul Ajaib untuk menobatkan tuak itu menjadi rasmi. Adalah tuak itu arak juga. Maka arak itukan sudah dilarang dalam al-Quran. Pada ayat 219 surah al-Baqarah, Allah berfirman: "Dan mereka bertanyakan kamu wahai Muhammad perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak daripada kebaikannya. Hampir-hampir sahajalah mamak kita menjadi buntu akal sampai ia melihat kita bemain-main dengan beberapa helai daun yang kita temui tertanam di luar rumah. "Apa gerangan kamu Lepat bermain daun? Marilah mamak lihat, takut ia beracun." Kita pun memberi daun itu kepada mamak. Adalah ayahanda saudara kita itu untuk menguji ia selamat atau tidak, memasukkan daun itu ke dalam mulutnya. Terasa pahit-pahit kelat tetapi macam nikmat seketika kala dikunyah. Mungkin dapat rasa ini menggantikan rasa masam-masam manis tuak itu. Gesitlah mamak kita mencari penduduk tempatan sayugia dikhabarkanlah daun itu bernama sirih. Suka benarlah hati mamak kita. Maka untuk diberi sedap mengunyah sirih itu dicarikan pula pinang, dicampur kapur, disumbat gambir dan sedikit tembakau. Semua itu dicantumkan menjadi satu. Pada hari yang elok mamak kita pun membawa kita menghadap Raja Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib. "Apa yang kamu persembahkan?" "Inilah sirih yang dimakan satu dengan bahan lain. Ia gunanya menunjukkan kehidupan orang Melayu itu sangat ingin ia akan hidup yang bersatu. Tiada gaduh-gaduh. Hendaklah orang yang punya adab itu ia menyusun tepak sirih, cara mengapur daun ini mestilah cendayam. Dapat ia digunakan dalam sebarang adat istiadat. Makan sirih pinang ini dapat mengingatkan Melayu akan hormat-menghormati, hendaklah ia berbudi bahasa, sentiasa bersatu padu, molek ia hidup beradat lagi berperaturan. Serta tiada ia menipu." Parameswara tertarik. Tetapi Permaisuri Kamarul Ajaib pura-pura menguap menunjukkan ia bosan. "Terangkan lagi darihal sirih pinang ini duhai Musa al Kazim." Mamak kita tersenyum. Kita di sisinya duduk sahaja merenung lantai istana daripada kayu cendana. "Inilah sirih ini setiap bahan yang dikunyah itu ada ia membawa pengertian tertentu." Permaisuri Kamarul Ajaib melentok-lentok kepalanya, bagai orang mabuk tuak juga, ternampak ia rama-rama yang sesat ke dalam balairong seri terus ia menyanyi, "Rama-rama, rama-rama..." "Ciittt...janganlahlahlah dilayani baginda permaisuri itu, ia lagi mabuk. Teruskan tuan menzahirkan apa eloknya sirih itu?" Parameswara menggalakkan. "Adapun sirih pohonnya memanjat dan akan ia itu mengharap sandaran, akan tetapi bila ia memanjat tidak pula merosakkan tempat ia bersandar. Tidak umpama pokok sakat atau pokok api-api, memanjat lagi menguasai. Maka sirih itu tuanku ertinya merendah diri, hendaklah kita kala berbincang itu memuliakan orang lain, tetapi tiada pula menafikan diri sendiri adalah pemberani." Parameswara membundarkan mata sambil menggaru-garu perut gendut. "Kapur itu tuanku didapati daripada kerang atau batu kapur. Adalah ia putih bersih. Kalau dimakan saja rasanya payau, sifatnya itu hangat dan melecurkan. Adalah kapur itu maknanya ia, yang putih bersih tapi jaga-jaga, jangan Melayu itu ditipu dan dipaksa kerana jika ia terpaksa, ia boleh juga menimbulkan kemarahan. "Rama-rama, rama-rama." Permaisuri terus menyanyi sambil meliuk-liuk. Bila seorang inang membuat isyarat getap bibir tanda suruh menjaga kelakuan barulah ia diam sekejap. "Sirih itu juga dimakan dengan gambir. Adalah gambir itu seperti yang tuanku lihat ia berwarna kekuningan. Untuk jadi ia seperti ini terpaksa ia melalui beberapa takah seperti perebusan dan penyaringan. Maka oleh gambir itu jadilah pemakan sirih itu sifatnya penyamak oleh rasanya yang kelat kepahit-pahitan itu membawa makna kecekalan hati." "Ajaib." Kata Parameswara. "Kita yang ajaib tuanku?" Soal Permaisuri Kamarul Ajaib memang sudah bingung tidak ingat. Parameswara tiada peduli. "Adapun pinang itu pokoknya kalau direnung lurus ia ke atas dan berbuah ia lebat dalam setandan. Buah pinang andai dikupas bentuknya bulat dan keras. Juga rasanya kelat. Andai dibelah dua ternampak hatinya yakni empulurnya yang keputihan. Itulah pinang yang menunjukkan kita ini semua daripada keturunan orang baik-baik kerana tinggi dan lurusnya. Melayu selalu sedia pula membuat sesuatu dengan hati yang terbuka, dengan segala kesungguhan." Parameswara suka cita sekali. "Daun tembakau kita hiris dan kita keringkan agar tahan ia sampai lama. Tembakau itu rasanya pahit, dan sifatnya sedikit memabukkan. Ini tandanya Melayu itu tabah dan sedia berkorban. Maka kalau kita sedang berbincang, adalah tepak sirih yang lengkap dengan isinya itu membawa ia maksud hormat tetapi janganlah pula memandang rendah sampai tiada memberi peluang mempertahankan darjat. Adalah tuanku kita mencipta sirih pinang ini guna untuk raja-raja dan kaum bangsawan. Hendaklah ia jadi makanan beradat sebelum dan sesudah makan. Untuk rakyat biasa, menyambut tepak sirih dan memakan sirih itu adalah menghubungkan tali persaudaraan. Hidangan tepak sirih jadi suatu keraian dan rasa besar hati dikunjungi musafir. Sekapur sirih dikunyah untuk menambah erat persaudaraan. Ramuan-ramuan sirih itu bagi cantik diisikan ke dalam pelbagai cembul boleh ia disorong dalam pelbagai istiadat Melayu. Inilah yang lebih baik daripada setempayan tuak tuanku. Inilah sirih kita persembahkan sebagai daun budi." "Jadi tiada tuak untuk minum?" Permaisuri Kamarul Ajaib sedikit murka. Nyaris ia melondehkan kembannya. "Tiada." Kata mamak kita tegas sambil menyambung, "Adapun agama kita Islam melarang tuak. Adapun pendita dalam agama kita Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar itu berkata: `Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang peminum tuak itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai ke dadanya, mengalir air liurnya, tiap orang yang melihat akan jijik kepadanya kerana busuk baunya. Kamu jangan memberi salam kepada pemabuk dan jangan melawatnya jika mereka sakit dan jangan menyembahyangkan jika ia mati." Permaisuri Kamarul Ajaib terkulat-kulat dimarahi. Parameswara bertitah lagi, "Hairan agama kamu ini. Bolehkah beta mempelajarinya." Berserilah-serilah muka mamak kita. Begitulah, maka sampai pekan lain kita akan berkisah lagi. Sebelum pergi ingatlah pesan kita janganlah tuan-tuan minum arak atau tuak takut nanti jadi lemah dan berlahlahlah seperti Parameswara atau berama-rama-rama seperti halnya Kamarul Ajaib yang tiada ajaib itu.

Wednesday, March 19, 2008

Malas Nak Citer Pasal Saham & Politik...Kita Citer Pasal Sejarah...

SYAHDAN telah diturunkan dari kayangan umpama hikayat Tun Lepat untuk dijamu buat tuan-tuan yang bijaksana. Maka setelah beberapa lama, tuan-tuan sudah pun menelaah akan serba sedikit kisah hidup Tun Lepat di hujung nyawanya. Adapun Tun Lepat itu bakal ia dijadikan korban kerana penganiayaan seorang perempuan rakus kepada takhta dan singgahsana. Adapun kali ini izinkan hakir berhenti sejenak menggantung ceritera, nanti akan kita kembali semula kepada fasal Tun Senaja dan segala kerenahnya. Izinkan hakir membawa tuan-tuan kepada renungan asal usul Tun Lepat itu. Mana asalnya, mana usulnya dan bagaimana ia sampai menjadi gerau tersohor di istana Melaka. Namun segan di hati hakir kerana bukanlah hakir layak membawa kisah ini melainkan Tun Lepat sendiri jua. Maka berilah laluan buat ayahanda Tun Lepat untuk berlipur sendiri: Asal kita dari negeri yang jauh. Nama negeri itu Pasai. Hendaklah tuan-tuan tahu, akan ayahanda kita itu datangnya dari negeri bernama Najaf, orang Arab juga ia. Oleh bermacam-macam kesusahan hidup di negeri jauh itu dan oleh zalimnya pemerintah Abbasiyyah menindas orang yang tidak sefaham dengannya maka ayahanda kita menumpang bahtera dengan dua tiga sahabat sepermainannya lalu sampailah ia ke negeri Pasai. Di situlah ayahanda kita berkahwin bertemu jodoh dengan sanak-saudara Raja Merah Silu, dan lahirlah kita tidak lama sesudah itu. Kala kita berusia baru beberapa purnama terjadilah daga besar di negeri Pasai. Oleh daga besar itu terkorbanlah ayahanda dan bonda kita, dan kita diasuh oleh bapa saudara kita bernama Musa al Kazim. Oleh macam-macam penderitaan di negeri Pasai, maka bertolaklah kami ke negeri baharu bernama ia Palembang. Adapun negeri Palembang ini sedikit entah apa-apa tuan-tuan. Adalah dikatakan pemerintah Palembang itu orang dari kayangan. Entahlah, padahal kita lihat sama sahaja mereka itu. Tidak macam jin atau bunian pun.
Adalah dikatakan mereka itu keturunan Iskandar Zulkarnain itupun kita rasa semacam tidak percaya kerana kita sendiri yang ada darah Arab jauh lebih putih merah dari mereka itu. Warna kulit mereka hitam-hitam manggis seperti Ayah Pin sahaja. Hidung mereka tiada pun mancung seperti kanda Sheikh Muszaphar kita yang segak itu padahal kanda Sheikh sudah sampai kayangan betul.
Tambah lagi kita tiada percaya ialah kerana orang di Palembang itu makan minum berak macam manusia juga, manakan insan dari kayangan makan nasi seperti kita jua? Malah tiadalah kita percaya ada manusia dari atas langit, kerana Nabi Muhammad yang kekasih Allah itu pun datang dari bumi. Kalaulah ada manusia yang lebih hebat daripada Nabi Muhammad itu biarpun ia kononnya alim ulama maka itu namanya bohong. Mamak kita itu pada suatu malam saat terlena ia, mendapat khabar mimpi yang meresahkan hatinya. Dalam mimpinya seorang lelaki yang juga namanya Musa al Kazim memberitahu supaya bapa saudara atau mamak kita menjadi pengikut seorang petinggi bernama ia Parameswara. Menurut yang empunya cerita adalah Parameswara itu putera kepada Sang Aji Palembang, ia berkahwin dengan sepupu Bhatara Tumapel, raja negeri Jawa. Adapun Parameswara atau Param itu setelah beberapa tahun berkahwin ia mulai menunjuk lagak dan cuba ia menunjuk kuasa untuk memisahkan negeri Palembang daripada naungan Jawa. Bhatara Tumapel amatlah marah oleh cubaan pengkhianatan Parameswara, “Ini semua kerja orang gila ini…” Maka Parameswara pun diusir dari Palembang dan belayarlah ia ke sebuah pulau kecil bernama Temasik. Bapa saudara kita Musa al Kazim, berpandukan mimpi yang aneh sebelumnya turut mengikut rombongan Parameswara. Kita pun dibawa bersama. Terdapat tujuh puluh dua orang semuanya dalam bahtera termasuklah dua ekor anjing. Parameswara itu tuan-tuan dapatlah kita katakan serakah ia kepada kekuasaan. Adapun lapan hari baru di Temasik, sudah dibunuhnya pemerintah Temasik waktu yang bernama Sang Aji Yew Temasik. Adalah Sang Aji Yew ini menantu raja Siam, Sri Thaksin Watt. Itulah bukan pada zaman tuan-tuan sahaja ada hubungan Siam dengan Temasik, dulu-dulu pun sudah ada. Setelah dibunuh Sang Aji Yew itu, Parameswara pun memerintah Temasik. Serakah kuasa - janganlah tuan-tuan kehairanan kerana orang di zaman tuan-tuan ada orang mengatakan dalam bahasa orang putih: `The time will come when they will learn their lesson.' Adalah lima tahun Parameswara memerintah Temasik. Isteri Parameswara itu namanya Ratu Kamarul Ajaib. Tidaklah seperti namanya, tiadalah ajaib sangat Ratu Kamarul itu. Hidungnya pesek, matanya sedikit sepet, rambutnya tiada merah seperti rambut ratu cantik kerana sudah botak, badannya agak bagak seperti jantan juga. Kita tahu itu kerana ia suka berkemban, menunjuk apa yang boleh ditunjuk. Kalau ditanya orang mengapa ia suka berkemban, ia akan menjawab, `'Entahlah, mak kita pun berkemban. Jadi nak malu apa.” Bila ada orang membantah kerana berkemban itu boleh menampak malu di badan, dan bukan budaya orang kayangan, Ratu Kamarul Ajaib akan membalas semula dengan penuh marah-marah, “Jika berkemban itu boleh merosakkan budaya, maka marilah kita semua berkemban merosakkan budaya.” Ratu Kamarul Ajaib ini kuat cemburu orangnya. Masakan tidak, hendak ia berkepit dengan Parameswara sepanjang masa. Andainya Parameswara bermain-main dengan anjing-anjingnya baginda ratu akan segera mengamuk. Kalau Ratu Kamarul Ajaib ini bertutur tiada kita faham seperti pelat orang mualaf jua. Suaranya pun serak-serak garau, kalau bermesra dengan baginda tuanku itu kita pun naik geli-geleman. “Kanda Param, apa gerangan kanda membelai-belai anjing sahaja sepanjang masa? Kita yang gersang ini tiada pula hendak dibelai.” Sekarang tahulah tuan-tuan mengapa Parameswara yang sudah berusia 62 tahun itu tiada selera akan Ratu Kamarul Ajaib. Seperti yang tuan-tuan pun tahu Pameswara waktu itu menjalinkan hubungan sulit dengan anak perempuan pembesarnya bernama Sang Rajuna Tapa. Mula-mula tiada diketahui orang tetapi lama-kelamaan diketahui juga orang kerana meskipun tiada CCTV di zaman itu tetapi jin mambang di zaman tersebut mulutnya becok usah dikira, kerjanya jin mambang menyampai khabar sahaja kepada siapa yang patut disampai. Memang tuan-tuan rasa sepeti tiada kemunasabahannya tetapi itulah hakikat konon raja Melayu itukan dari petinggi Demang Lebar Daun yang turun dari kayangan. Oleh kerana itulah tuan-tuan tatkala Islam tiba di rantau Melayu, belajarlah bangsa Melayu itu menjadi munasabah dan menggunakan akal. Tiadalah lagi ia percaya kononnya orang kenamaan itu berkuasa melebihi Tuhan. Fahaman yang orang di zaman tuan-tuan panggilkan feudal itu satu faham salah yang mendatangkan fitnah dalam negeri sahaja. Adalah agama yang mendorong umatnya menggunakan akal dan berhenti mempercayai susuk, anak pontianak, saka, dan segala tahyul itu hanyalah Islam kerana Allah ada berfirman dalam surah Sad ayat dua puluh sembilan: `Inilah kitab yang telah kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan agar mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.' Jadi tuan-tuan fikirkanlah, gunalah akal. Sementara tuan-tuan berfikir itu, hendaklah kita berbalik kepada kisah-kisah tiada masuk akal dahulu yang membabitkan gundik Parameswara, perempuan itu memanglah lawa, hendak menangis kalau diperi. Bila ditatap seperti merak emas. Rambutnya mengerbang seakan ular mamdud. Adalah riwayat mengatakan alat kelaminnya diperbuat daripada perak sakti, payu daranya daripada tembaga. Saat mereka bersama seperti bertemu Dewi Lakpurba dengan Derma Gangga. Maka Ratu Kamarul Ajaib sungguh cemburu maka dihasut dan difitnahnya Dang Ranum itu. Dikatakanlah Dang Ranum itu sudah naik minyak dengan seorang hulubalang yang kacak, Hang Chen. “Kalau kanda Param tak percaya, lekas-lekas tanyakan kepada Dang Ranum itu. Hissy entah apa yang ranum tiadalah kita mengerti.” Maka diperintahkanlah Dang Ranum menghadap. “Dinda, apa benar dinda ada melakukan hubungan sulit…” “Bukan sekadar hubungan sulit tetapi hubungan selit.” Ratu Kamarul Ajaib menyampuk dengan suara garau seraya membetulkan kembannya yang makin melorot. Parameswara menahan sabar. “Biarlah kanda siasat dahulu.” Diam seisi balairong seri. Tatkala Parameswara itu naik berang ada-ada saja titah yang tiada dijangka. Pernah sekali dulu Parameswara memerintah dibunuh seorang anak-anak kerana ia mencadangkan orang Temasik memakan ikan todak dan berhenti memakan daging lembu. Dang Ranum menangis-nangis mengangkat sembah. “Ampun tuanku beribu ampun…sembah pacal ini haraplah diampunkan. Kalau tiada ampun apalah kiranya pacal ini.” “Cettt, betul atau tidak?” Dang Ranum makin melalak. “Tuanku…adalah pacal ini masih muda.' Parameswara membundarkan mata. “Jadi betulkah?” “Tuanku, percayalah kata pacal. Apa yang berlaku itu tiada melibatkan perak dan tembaga.” Parameswara menggigil kemarahan. “Jadi, selain itu ada?” Dang Ranum tersedu-sedu. Sang Rajuna Tapa tiada dapat menyahut sepatah apa. “Cis, dasar tiada kenang budi. Hendak dikatakan gundik bukan gundik…apa gerangan Ranum buat begini? Cepat khabarkan mengapa Ranum sampai boleh menduakan beta?” “Ini sudah lebih daripada menduakan namanya kanda…” Ratu Kamarul Ajaib tersipu-sipu senyum tanda suka. “Mengapa Ranum?” Parameswara mendesak. Dang Ranum menangis tambah mengugu. “…tuanku, macam tu aja!” “Macam tu aja? Kau katakan aku macam tu aja. Dato Temenggung panggilkan orang sula jalang ini.” Titah Parameswara yang singkat akalnya. Dato Temenggung menggigil. “Ampun tuanku, adapun sula tiada boleh kerana Ranum itu ranumnya diperbuat daripada perak.” “Cis, gunalah akal. Jolok ikut mana dapat.” Sang Rajuna Tapa amatlah berduka, kerana hukuman sula itu tuan-tuan amatlah mengaibkan. Adalah hukuman itu juga amat kejam dan penuh siksa. Apatah pula di khalayak ramai. Maka oleh sakitnya hati itu Sang Rajuna Tapa pun membuka pintu kota Temasik lalu dijemput tentera Bhatara Tumapel, dan dijemput bala tentera Siam supaya dapat dibalas dendam akan kematian Sang Aji Yew yang tiada terbela. Maka terpaksalah Parameswara berundur ke dalam hutan, merentas selat dan sungai sampailah masuk ke dalam belukar belantara. Benarlah ingatan tuan-tuan itu, adalah mamak kita ikut sama rombongan Parameswara. Hendak dijadikan sebab, adalah waktu berundur itu amat tergesa-gesa dan tiada dibawa sebarang bekalan makanan. Adapun kita sudah pun berusia dalam tujuh tahun. Sudah berapa pekan rombongan Parameswara bersembunyi dalam hutan tiada makan dengan sempurna. Suatu hari yang cerah Parameswara memerintahkan beberapa orang hulubalang melembing dua ekor babi hutan. Setelah dipanggang hidup-hidup santaplah mereka. Adapun kita dan mamak kita sebagai orang Islam tiada boleh makan binatang itu. Adalah sedikit bekalan daging yang sudah kita keringkan. Untuk dijadikan sedap daging itu mamak kita Musa al Kazim mencari pokok pisang hutan yang tumbuh meliar di kawasan berbukit. Pokok pisang hutan ini tuan-tuan tiada ditanam kerana buahnya tidak boleh dimakan disebabkan terlalu banyak biji. Mamak kita mencari pokok pisang hutan yang masih muda yakni belum ia berbuah lantas diambil umbutnya iaitu bahagian tengah batang pisang, untuk dimasak. Adalah kita dan mamak menebang pokok terpilih, batang pisang itu dikoyak kulitnya untuk diambil umbut yang lembut. Ketika meredah rimba itu kita juga mengambil hasil hutan seperti pucuk paku, rebung dan pokok tepus yang umbutnya cukup enak dibuat ulam. Setelah itu kita dan mamak memasukkan umbut batang pisang ke dalam periuk dan dibuat gulai. Adalah daging sedikit. Kalau tuan-tuan suka nanti tatkala masukkan umbut pisang itu masukkan ia ketika daging separuh masak, jika batang pisang dimasukkan lebih awal, ia akan menjadi terlalu lembut. Bolehlah tuan-tuan mencubanya. Kalau ada santan eloklah juga, berilah tambah rasa dengan rempah basah dan rempah kering. Adapun rempah basah itu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung seperti bawang, halia, bawang putih dan cili. Adapun rempah kering itu pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini tuan-tuan hendaklah disangai terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Kalau hendak lebih bagus cadangan kita gunakan juga segala macam herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala. Bau gulai itu terapung merebak dan terhidulah dek hidung Parameswara yang sudah Kompong. “Apa nama makanannya yang kamu berdua makan?” “Gulai batang pisang tuanku.” “Ohhh…beta suka pisang. Mari beta cuba sedikit.” Setelah disantap sedikit, suka benar Parameswara dan Ratu Kamarul Ajaib. Parameswara pun bertitah, “Kalau begitu sepanjang kita kembara ini tuanlah jadi geraunya.” Mamak bersuara, “Tiada hamba dan anak hamba ini makan babi.” “Tak mengapa, kalau sedap tiada makan babi pun tak apa. Carilah ganti yang lebih baik. Boleh tupai, monyet atau beruang.” Terkelip-kelip mata mamak menjeling kita di sisi. Begitulah tuan-tuan selang tiga hari kemudian dua ekor anjing besar kesayangan Parameswara itu ditendang seekor pelanduk. Parameswara pun mendapat ilham untuk menerangkan hutan dan membuka negeri di situ. Adalah negeri itu dinamai Melaka. Bermulalah kehidupan baru, mamak kita dilantik menjadi gerau istana. Dan kita akan belajar daripadanya. Sungguh ada macam-macam cerita tetapi itulah, sudah tiba masa untuk mencari rezeki, izinkan kita berundur dulu. Janganlah tuan-tuan lupa menatap ceritera ini mendatang kerana akan kita perikan kisah sirih pinang dan segala perangai ajaib Ratu Kamarul Ajaib.

Tuesday, March 18, 2008

What Do You Think About Them?

New Cabinet Line Up

Prime Minister
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Deputy Prime Minister
Datuk Seri Najib Tun Razak

Ministers in the Prime Minister's Department
Tan Sri Bernard Dompok
Datuk Seri Nazri Aziz
Datuk Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Mohd Zaid Ibrahim
Datuk Amirsham Abdul Aziz

Deputy Ministers in the Prime Minister's Department
Datuk Johari Baharom
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk K. Devamany
Datuk Hassan Malik

FinanceMinister - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Second Finance Minister - Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Deputies - Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Datuk Kong Cho Ha

DefenceMinister - Datuk Seri Najib Tun Razak
Deputy - Datuk Wira Abu Seman Yusop

Internal Security and Home AffairsMinister - Datuk Seri Syed Hamid Albar
Deputies - Datuk Chor Chee Heong, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh

Housing and Local GovernmentMinister -Datuk Ong Ka Chuan
Deputies - Datuk Robert Lau , Datuk Hamzah Zainuddin

Works MinisterMinister - Datuk Mohd Zin Mohamad
Deputy- Datuk Yong Khoon Seng

Energy, Water and CommunicationsMinister - Datuk Shaziman Abu Mansor
Deputy- Datuk Joseph Salang Gandum

Agriculture and Agro-based IndustryMinister - Datuk Mustapa Mohamed
Deputy - Datin Paduka Rohani Abdul Karim

International Trade and IndustryMinister -Tan Sri Muhyiddin Yassin
Deputies- Loh Wei Keong, Datuk Jacob Dungau Sagan

Foreign AffairsMinister -Datuk Seri Dr Rais Yatim
Deputy- Tunku Azlan Abu Bakar

EducationMinister -Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Deputies -Datuk Wee Ka Siong, Datuk Razali Ismail

Higher EducationMinister - Datuk Khaled Nordin
Deputies - Khoo Kok Choong, Datuk Idris Harun

Transport-Datuk Ong Tee Keat
Deputy - Anifah Aman

Human Resources-Datuk S. Subramaniam
Deputy- Datuk Noraini Ahmad

Women, Family and Community DevelopmentMinister-Datuk Dr Ng Yen Yen
Deputy- Noriah Kasnon

National Unity, Culture, Arts and Heritage Minister- Datuk Shafie Apdal
Deputy-Datuk Teng Boon Soon

Science, Technology and InnovationMinister- Datuk Dr Maximus Ongkili
Deputy- Fadilah Yusof

Entrepreneurial and Cooperative DevelopmentMinister - Datuk Noh Omar
Deputy- Datuk Saiffuddin Abdullah

Natural Resources and EnvironmentMinister - Datuk Douglas Unggah Embas
Deputy - Datuk Abu Ghapur Salleh

Rural and Regional DevelopmentMinister - Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Deputy- Tan Sri Joseph Kurup

Domestic Trade and Consumer AffairsMinister - Datuk Shahrir Samad
Deputy - Jelaing Mersat

Plantation Industries and CommoditiesMinister - Datuk Peter Chin Fah Kui
Deputy- Senator A. Kohilan

Youth and SportsMinister - Datuk Ismail Sabri Yaacob
Deputy - Wee Jack Seng

HealthMinister - Datuk Liow Tiong Lai
Deputy- Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

InformationMinister - Datuk Ahmad Shabery Cheek
Deputy- Datuk Tan Lian Hoe

TourismMinister - Datuk Azalina Othman
Deputy - Datuk Sulaiman Abdul Rahman Abu Taib

FTMinister - Datuk Zulhasnan Rafique
Deputy- M. Saravanan