ARAKIAN perihal Permaisuri Kamarul Ajaib itu tiada ia berhenti minum tuak, tiada ia berperangai seperti manusia melainkan seperti beruk juga. Maka rungsing dan lampas Parameswara memikirkan darihal permaisurinya yang sudah tidak menentu fikirannya. Hendak diubat tiada ia tahu apa cara. Kala dipujuk supaya berhenti minum tuak sehari-hari, Permaisuri Kamarul Ajaib gesit menjawab, "Sampai hati kanda Param menuduh kita penagih tuak dan pemabuk tegar. Kita ini raja perempuan juga untuk negeri ini. Kita tahu kanda itu teringin hendak mengubah kita dan tiada lagi hendakkan kita. Lima dekad kita bersama kanda, tahulah kita kanda sudah tidak hendakkan kita." Sungguh merajuk sahaja nadanya.
Syahdan ingin hakir perikan di sini bahawasanya Parameswara itu bertegas ia menghantar Permaisuri Kamarul Ajaib ke sebuah kampung di Rembau, yang kelak dapat dipulihkan ketagihannya. Adalah di kampung ini terdapat orang yang berani merawat Permaisuri Kamarul Ajaib yang sudah tiada sejahtera itu lagi kerana ia asyik minum tuak. Orang tersebut tiada lain tiada bukan ialah Bomoh Badin. Nanti ada ruang dan peluang akan hakir perikan ceritera Bomoh Badin. Tetapi itu lain kali. Maka Parameswara pun bertitah kepada Permaisuri Kamarul Ajaib, "Kanda janjilahlahlah, kalau sudah dinda sihat nanti; maka pasti kanda akan menjemput adinda kembalilahlahlah." "Janji kosong belaka." Lekas balas Permaisuri Kamarul Ajaib murka-murka manja sambil nyaris melondehkan kembannya. Kalau terlondeh mungkin Parameswara tidak jadi menghantar Kamarul Ajaib ke solok hulu. "Ciittt, gunalah akal duhai dinda. Janji kosong itu hanya terbukti kosong kalau sudah berlaku ia, tetapi kalau belum berlaku tiada dinda dapat menuduh beta berjanji kosong. Untuk dinda tahu kosong atau berisi janji itu, hendaklah dinda beri peluang kepada beta dulu. Kalau betul tiada beta tunaikan janji barulah boleh dituduh beta berjanji kosong." Begitulah Parameswara menggunakan akalnya untuk berfikir, dan mengajak permaisurinya juga menjadi perempuan munasabah menggunakan akal. Malang, permaisurinya senget kerana mabuk maka tiada dapat berfikir waras. Bahawa dihantarlah Permaisuri Kamarul Ajaib ke kampung yang dapat memulihkan ia daripada ketagihan tuak, di zaman tuan-tuan adalah dinamakan tempat seumpama itu oleh orang putih, sebagai `rehab'. Langsung ditandu diarak dengan gajah bergading sepuluh hasta, kuda padi tujuh ratus ekor, dan empat puluh al-karkadann dipasang pada sumbunya dengan tanduk kerbau. Serta segala rombongan berinang berdayang semua. Ramainya rakyat yang dikerah dipaksa berbondong ke Rembau dari ufuk timur ke ufuk barat jika disusun. Maka dijulang dipasang segala panji dan dikibar segala jong sarat. Habis segala perbendaharaan negeri Melaka yang baru dibuka digunakan sampai terbazir berhabis semata-mata hendak menghantar Permaisuri Kamarul Ajaib. Orang tempatan pula diupah uang lapan belas dinar untuk menyambut ketibaan Permaisuri Kamarul Ajaib. Adalah seorang mak cik yang amat beradat mempertikaikan kehebohan rombongan diraja itu, "Apo namo e rajo betino Melako ni ha. Kepalo e kocik macam ponyu. Tapi yang menghantar e ghamai macam nak ghuntuh langit. Melampau-lampau lak ghaso e." Oleh marah mendengar kata-kata umpat tersebut Permaisuri Kamarul Ajaib yang memang sedang mabuk tidak ingat pun menitahkan mak cik tersebut disula dengan tanduk kerbau yang dipasang pada al-Karkadann. "Apa gerangan beta dibangkang digunjing dan dijujat seperti ini. Sampai dikeji beta ini berkepala kecil seperti penyu. Sakit hati beta. Siapa yang berani ia menfitnah beta, maka alamat rosaklah ia." Demikian titah Permaisuri Kamarul Ajaib sedemikian angkuh dan sombong. Akan tetapi tuan-tuan tiadalah dapat dipungkiri kalau Permaisuri Kamarul Ajaib itu hadir mabuknya akan ia terlonjak-lonjak dan terpekik-pekik sambil digawang-gawang tangan seumpama terlalu ganas, nampak ia seperti penyu pun ada, seperti monyet juga ada. Moga-moga kita doakan ia segera sembuh dirawat Bomoh Badin di kampung tersebut. Adapun dalam tempoh itulah mamak Tun Lepat pun mengajar dan memujuk Parameswara supaya ia menerima Islam sebagai agamanya. Namun tiadalah mudah. Amatlah liat akan Parameswara tersebut menganut agama Islam. Mamaknya Tun Lepat tahu benar yang Melayu itu kalau rajanya masuk Islam maka akan menurut belaka kemudiannya. Sekarang biarlah hakir minta Tun Lepat sendiri berkisah dan berhikayat perihal baginda Parameswara itu. Adapun anakanda Hang Seleri, bersungguh-sungguhlah mamak kita mengajak Parameswara itu menerima agama Islam. Saban hari saban masa tiada lekang mulut mamak kita menyebut akan kebaikan Islam supaya dapat menambat hati Parameswara. Oleh kerana baginda Parameswara yang gemuk itu amat gemar akan pantun maka mamak kita pun menyusun dua rangkap pantun berkait. Adalah pantun berkait saling ia tafsir-menafsir dan saling ia jelas-menjelaskan. "Al-Hassani wal Hussain, Wahai cucu Rasulullah; Wafat Hassan tinggal Hussain, Wafat perang sabilullah. Buah jambu dimakan kera, Dipetik Rukiah lari ke hutan; Ilmu itu bertiang tiga, Dialah cahaya penyuluh jalan." Parameswara pun terasa heran, lalu ia bertanya kepada mamak kita setelah menguap dengan mengangakan mulutnya. "Duhai gerau diraja, ilmu itu bertiang tiga, tiga itu apakah ia?" Mamak kita Musa al-Kadzim yang begitu allamah dan sabar sekali pun merenung Parameswara. Di tengah-tengah balairong seri Istana Melaka bergemalah suara mamak kita. "Adalah yang pertama Allah, adapun yang kedua Rasulullah dan yang mesti diketahui orang yang ketiga itu ialah ahlul bait atau keluarganya Nabi Muhammad kerana baginda sebagai utusan Allah tiada ia bersabda melainkan kerana mendapat petunjuk dari Yang Maha Esa. Ada hadis mengatakan keluarga Nabi umpama bahtera Nuh. Kalau ditumpangi maka selamat dunia akhirat, kalau ditinggalkan nescaya karam dunia akhirat. Bunyinya hadis itu seperti ini: Sesungguhnya perumpamaan Ahlulbaitku di tengah-tengah kalian bagaikan bahtera Nuh, barang siapa menaikinya ia selamat dan barang siapa meninggalkannya ia pasti tenggelam. Dan sesungguhnya perumpamaan Ahlulbaitku di tengah-tengah kalian bagaikan pintu pengampunan di kalangan bani Israil barang siapa masuk ke dalamnya maka ia pasti diampuni." Parameswara pun berkerut tetapi lagi tertarik untuk mendengar. "Duhai Musa adalah beta ini lagi mengantuk kerana beta bekerja keras setelah membangunkan negeri Melaka. Biarlah beta tidur sekejap. Bila beta bangkit kelak beta ingin makan, lauk pauk yang sedap-sedap juga." Berangkatlah Parameswara ke kamar beradu dan cepatlah ia lena. Maka mamak kita pun segera mencipta lauk baru yang sedap dan mengecurkan air liur kalau kita mengenangkannya. Masuklah mamak kita ke dapur. "Apa makanan kali ini mamak?" Tanya kita tidak sabar-sabar. Mamak kita hanya diam. Tekun ia menyiang beberapa jenis ikan. Adalah banyak ikan ditangkap oleh nelayan yang memang ramai di Melaka pada waktu itu. Kota Melaka belumlah lagi menjadi kota pelabuhan yang masyhur. Hanya dipenuhi penghuni terdiri daripada orang laut belaka. "Ayuhlah Lepat, tolonglah mamak menyiang ikan yang ada ini." Bekerjalah kita menolong mamak dengan ikan parang, ikan tenggiri, ikan merah dan ikan terubuk. Mamak kita menyediakan pula cili kering, bawang merah, bawang putih, belacan, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, daun kesum, bunga kantan, asam jawa, asam gelugur, serta daun limau purut. Cekatan sungguh cekatan, mamak kita cekatan mengisar dan menumbuk cili kering, bawang merah dan putih, halia dan belacan sampai semuanya lumat. Serai dan lengkuas itu pula disuruh kita ketuk, dan bunga kantan diminta kita belahkan jadi empat. Ayahanda mamak pun menumiskan semua yang telah dikisar dan dimasuk pula lengkuas ke dalam periuk. Naiklah baunya dan garing ia tetapi tidak pula hangus. Adapun bau itu terapung-apung merebak sampai jauh. Menurut riwayat adalah baunya menjalar sampai ke kota Ayuthia di Siam. Tahulah raja Siam, musuh yang telah membunuh sekutunya di Temasik sudah elok bersemayam di Melaka. Hendaklah ia menyusun bala tentera untuk menyerang Melaka dan memaksa negeri baru itu tunduk membayar ufti emas dan perak. Adalah mamak pun memasukkan air asam jawa ke dalam periuk. Seekor demi seekor ikan yang telah dibersihkan dimasukkan sehingga mendidih dalam belanga berlainan. Kemudian mamak masukkan serai, daun kesum, bunga kantan, asam gelugur atau daun limau purut. Kita melihat sahaja setiap kelakuan mamak. Terbeliak mata kita kerana melihat mamak membuka lipatan sehelai kain. Dalam lipatan kain baldu itu ada sehelai janggut yang amat halus putih kelabu. Tanpa lengah mamak pun memasukkan janggut sehelai ke dalam periuk. "Apa itu mamak? Apa ia racun?" Kita bingung berasa pelik. "Cuss walad, ini bukan racun tetapi janggut seorang imam yang mulia. Moga-moga Parameswara akan menerima Islam. Berdoalah. Sesungguhnya, ad-dua-u- mukhkhul `ibadah yakni doa itu otaknya ibadah." Siaplah sejenis lauk yang tiada taranya sampai bila-bila. Sampai kiamat pun lauk masak asam pedas itu teramat sedap kalau dibandingkan dengan apa pun. Kalau dimakan malam-malam, panas-panas pula tentu berpeluh-peluh. Maka tak dapat digambarkan kelazatannya. Turunlah sekian mambang dari kayangan untuk ikut makan sekali. Berkumpullah sekian jin ingin makan sisa tulang-tulang ikan itu. Bergoyang segala bulu di badan kalau dimakan asam pedas. Tersohorlah lauk masak asam sampai serata Nusantara, tersebar ia hinggakan bangsa India Merah di bumi yang tiada berpenghuni pun mengetahuinya. Aduh, tuan-tuan issyyyy kalau dicicip sekali, terasa ingin menangis pun ada. Kalau disudu sedikit, terasa ingin berteriak pun ada. Kalau dihirup banyak, maka rasa macam-macam terus. Bangkitlah baginda Parameswara daripada tidur. Terbaulah masakan yang amat menusuk. Santaplah baginda sampai berpeluh ketiak, pelipat, dan kelangkang Parameswara tatkala menghirup slurrppp lauk asam pedas itu. Sukacitalah Parameswara oleh lauk yang menyebabkan ia terkentut sekali-sekala kerana adalah diperikan baginda itu susah buang angin. Sesudah makan sampai kenyang Parameswara macam biasa terasa ia amat mengantuk. "Beta sudah bekerja keras sepanjang hari, beta rasa letih dan ingin beradu." Mamak kita hanya bersabar sahaja dan mengangguk. Tidak lama sesudah Parameswara tidur, bermimpilah ia seorang tua yang wajahnya bercahaya muncul memujuk. "Terimalah Islam anakanda." Kata orang tua tersebut dengan nada penuh haru. "Apa sebabnya ingin kita terima agama ini?" Soal Parameswara lurus-lurus bendul. Orang tua pun lagi bersyarah, "Adalah Islam itu agama kebaikan dan kebajikan. Kalau tuanku melakukan kebajikan dan kebaikan kepada rakyat maka akan datanglah keselamatan dunia akhirat, keamanan dunia akhirat, dan kemakmuran dunia akhirat. Akan tetapi mula-mula hendaklah tuanku menerima Islam itu agama kebajikan dulu. Kalau tuanku tiada menerima itu mana akan datang selamat, atau aman dan makmur? Sahaya ini hanya orang yang menyebarkan agama Tuhan sahaja seperti dituntut dalam kitab suci pada surah Ali Imraan ayat seratus empat, `Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.' Begitulah tuanku caranya." Paramewara yang sedang lena tiada ia sedar akan punggungnya yang besar tersungkit setengah inci dari ranjang kala mendengar perkataan `untung', mana tidaknya adalah baginda itu hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata. Belum ia nampak keuntungan akhirat. Orang tua tersebut pun segera menambah, "Tuhan kita berfirman dalam kitab suci, pada surah an Nisa' ayat seratus mengatakan, `Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela dan menegakkan Islam, nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati dalam perjalanan, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.' Maka tuanku, kalau menerima Islam sebagai agama kebajikan dan kebaikan barulah datang untung. Oleh kerana itu hendaklah tuanku berubah dulu, berhijrah mengambil Islam sebagai agama." Sebaik sahaja ayat tersebut selesai orang tua itu pun menghilang. Parameswara tiba-tiba terjaga, dan katil di sisi jendela kamar beradu terbuka bersama embun dinihari. Baginda terlihat bulan mengambang penuh di langit malam dan tertulis dalam jawi: Terimalah Islam, Pasti Anakanda Selamat. Tercenganglah kehairanan Parameswara, bila dilihat dalam sarwalnya basah amat. Baginda menyangka ia mani tetapi bukan, rupa-rupanya baginda terkencing malam. Namun lebih ajaib, bila ditelek ditenung sedarlah baginda kalamnya telah elok dikhatan. Tiada lagi kalam kulup. Sungguh Parameswara terpinga-pinga. Tatkala baginda mengangkat muka memandang langit malam kembali, ada tulisan syahadah. Baginda pun menyebut dan mengulang-ngulangnya. Begitulah baginda Parameswara menganut Islam. Ajaib memanglah amat ajaib. Apa tidaknya, bukankah kita di Melaka? Apa yang tiada ajaib di Melaka? Tuan-tuan tibalah waktu makan. Tentulah kita akan mencari lauk asam pedas. Kalau ia sedap janganlah tuan-tuan lupa adalah tentu lauk itu ada janggut orang alim sebagai bahan penyedapnya. Kalau ia tiada sedap, ada kemungkinan janggut orang yang tiada patut sudah masuk ke dalamnya. Jangan tuan-tuan ketinggalan mengikuti hikayat kita Tun Lepat pada pekan hadapan. Belum kita babadkan lagi kisah gundik Parameswara, Dang Shakuntala. Tunggulah, tunggulah...
No comments:
Post a Comment