Friday, March 21, 2008

Parameswaran Yang Mabuk...

ADAPUN tuan-tuan, Parameswara dan rombongan telah terserempak dengan seekor pelanduk yang amatlah perkasa sampai ia dapat menerajang dua ekor anjing besar milik Parameswara; terkehel tulang buntut anjing-anjing itu. Seperti yang tuan-tuan belajar dalam buku teks sejarah, kononnya negeri Melaka itu dibuka oleh Parameswara. Sebenarnya hal ini bohong belaka. Sebaliknya yang benar adalah Melaka telah pun berpenghuni ketika itu. Orang yang mendiami negeri Melaka dipanggil 'orang laut' kerana mereka bagai nomad bergerak dari satu pantai ke satu pantai menangkap ikan. Maka menurut empunya cerita, terdapat beberapa ratus orang laut yang menetap di pantai Melaka pada waktu Parameswara itu tiba.
Hal ini hanyalah diketahui oleh Parameswara apabila baginda dan pengikutnya meneroka pesisir pantai. Di situ, Parameswara telah terserempak dengan seorang lanang tua lebih 100 tahun usianya yang menjadi pemandu kereta lembu awam di kota. Lanang itu yang tiada pernah ia melihat Parameswara telah menghentikan keretanya lalu bertanya dengan nada yang begitu rais sekali, "Adik ni pertama kali di Melaka ke?" Lanang itu tidaklah ia tahu yang Parameswara itu seorang raja yang baru dihambat keluar dari negeri. Maka Parameswara pun menjawab, "Haah." Untuk baginda mengorek pelbagai rahsia maka Parameswara pun pura-pura menumpang kereta lembu itu untuk bersiar-siar sambil mendengar lanang itu menceceh merepek meraban. "Siapa yang dah lama duduk dalam kampung ini tahu, mimpi dan angan-angan ini macam intan berlian tapi akan pecah terbarai macam tembikar murah jika tidak dijaga. Kita semua ada mimpi dan angan-angan, inilah yang jadi harapan." Heranlah terlalu heran Parameswara betapa lanang itu sangat suka berbicara darihal mimpi dan berangan. "Siapakah pemerintah negeri ini?" "Penggawa negeri ini sedang tidur, ia hanya bangun sekali-sekala." "Apa gerangan penggawa kamu tidur lama-lama begitu?" Tanya Parameswara kehairanan. "Entahlah. Tiada kita mempersoalkan apa-apa saja perbuatan penggawa kita." Parameswara pun tersenyum, tahulah ia, tempat ini amat subur untuk dijadikan negeri, kerana andaikan saja mendapat rakyat seperti lanang tua ini. Tiada ia mempertikaikan apa-apa perbuatan. Sementara penggawa Melaka itu belum bangkit daripada tidur, Parameswara pun segeralah menjalankan gerakan siasahnya. Baginda pun menyeru penduduk Melaka yang jumlahnya tiada berapa ratus itu supaya menggulingkan penggawa mereka. Parameswara dan pengikutnya segera memukul canang untuk menjadi pemerintah Melaka. Baginda juga berjanji untuk memberi kesejahteraan buat negeri yang pada waktu itu hanyalah sebuah kampung kecil. "Beta akan membina jambatan di kota Melaka." "Tapi tuanku, di kota ini tiada sungai untuk apa dibina jambatan?" Balas orang laut yang ramai-ramai tercengang, amat kehairanan. "Kalau tiada sungai, beta binakan sungai supaya dapat jambatan dibina." Maka semua pun terasa begitu agung sekali Parameswara itu. "Apa lagi yang tuanku boleh lakukan?" "Menghantar kamu ke angkasa pun beta dapat kerana beta ini keturunan Demang Lebar Daun yang turun dari kayangan." Maka ramailah keluar menyatakan sokongan padu. Naiklah Parameswara menjadi raja baru di negeri Melaka. Setelah itu pun dibina istana. Baginda pun mengisytiharkan diri sebagai raja Melaka yang pertama. Gelar dan nama penuh baginda ialah Sri Maha Paduka Biku Parameswara Renjana. Adalah isterinya Ratu Kamarul Ajaib itu dijadikan permaisuri dengan menggunakan nama dan gelar Permaisuri Paduka Liku Kamarul Ajaib Nerina Lara. Kemudian rakyat negeri Melaka pun dikerah menggali sungai yang dalam sekali; siap dengan muara dan hulu. Maka ramailah yang mati kerana sungguh lelah pekerjaan itu. Kerana itulah pada hemat kita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di zaman tuan-tuan patut menamakan sungai Melaka itu sebagai warisan dunia dan salah satu benda ajaib seperti Piramid dan Tembok Besar Cina. Adapun cukuplah panjang dan lebar sungai untuk dimasuki sekian geliung, kapal dan bahtera. Inilah sungai Melaka yang tersohor kelak sampai menjadi ia sebuah pelabuhan bertaraf dunia. Adapun untuk ceritera berikutnya moleklah hakir berikan kepada Tun Lepat sendiri untuk meneruskan hikayat. Adalah kita pada waktu itu amatlah sukar sekali kerana hanya kita dan mamak sahaja yang beragama Islam. Pada suatu hari yang ranggi sahaja, Parameswara memanggil kita dan mamak menghadap masuk. Pada singgahsana yang liplap liplap warna, tempat duduknya pula dipakang dengan pakan emas bersemayamlah Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib dengan dayang-dayang mengipas-ngipas baginda dengan kipas besar bagai daun pokok mengkuang. "Duhai Musa dan anak buahnya, adalah beta merasa risau akan orang laut ini kerjanya asyik bergaduh. Perangai mereka serupa binatanglahlahlah. Maka beta memikirkan satu cara untuk Melayu itu menjadi ia santun, beradab, majlis dan jikalau berunding itu ia saling hormat-menghormati dan tidak pijak memijak." Titah Parameswara panjang, hampir-hampir senafas. Adapun untuk tuan-tuan yang menyangka Parameswara itu kacak umpama Amitha Bachan, atau mungkin ia tersenyum penuh syahdu seakan-akan Shah Rukh Khan, melesetlah segala sangkaan itu. Adapun Parameswara itu selain bermisai lentik, amatlah gemuk ia. Perutnya sahaja entah berapa tahil beratnya. Buntutnya lebar macam kawah dodol. Kepalanya botak tetapi memakai rambut palsu daripada bulu kambing hitam. Matanya tajam dengan alis yang hitam. Baginda itu sedikit juling. Ada iras-iras ia bintang filem Rajakumari dan Rickshakaran di zaman tuan-tuan, yakni yang bernama ia Marudur Gopalamenon Ramachandran atau nama manjanya, MGR. Ratu Kamarul Ajaib segera menyampuk, "Ahh kanda Param, apa susah-susah mencipta istiadat dan makan untuk orang yang sedang berbincang. Adalah yang patut, ketika orang berbincang itu biar ia mabuk-mabuk. Lagi mabuk lagi tentu bincangnya. Beta ingin mencadangkan supaya orang yang sedang berbincang itu dibikin satu minuman supaya dapat kepalanya senget. Maka bila ia lupa dan tiada sedarkan diri waktu itulah kita ambil kesempatan dan kita bolot apa yang tiada kita dapat." Parameswara menggeleng kepala. "Sudahlahlahlah kita bermuslihat seperti itu. Sejak kita di Palembang membawa ke Temasik begitulahlahlah caranya. Hendaklahlahlah ia diubah supaya lebih senonoh jua." Adalah jangan tuan-tuan merasa pelik kenapa tiba-tiba Parameswara itu sedikit aneh bahasanya, kerana ia tiada lain tiada bukan; mabuk juga. Sendawa ia errrkkkkk berbau tuak nasi seperti nasi goreng basi baunya. Mana tidaknya, Parameswara itu sudah ia minum tuak setempayan kerana menurut Permaisuri Kamarul Ajaib, minum tuak itu boleh selalu bertenaga sentiasa. Seperti yang kita tahu permaisuri itu selalu ia kibar. Tuak Kamarul Ajaib itu tuan-tuan diperbuat ia daripada sejenis beras dipanggil beras pulut. Maka beras tersebut akan direndam ia bersama air di dalam tempayan. Lamanya merendam itu sampai dua pekan sebelum ia diminum dan beras tersebut ada juga dijadikan sejenis makanan, dipanggil ia tapai. Kadang diperbuat ia dengan beras pulut, dicampur sedikit dengan gula pasir supaya rasanya manis. Itulah Parameswara sudah minum ia satu tempayan, maka mana tidaknya ia pening-pening dan mabuk teramat sampai ia sentiasa berlah-lah-lah bila berbicara. "Adapun tuanku adalah tuak itu ada ia sejenis benda yang menyebabkan manusia yang meminumnya mabuk, jika mabuk bagaimana hendak berbincang?" Mamak kita membantah. Dalam benaknya terkenang ia hadis riwayat Ummu Salamah isteri nabi bahawa `Rasulullah telah mencegah daripada meminum semua minuman yang memabukkan dan melemahkan fikiran. "Argh lima peratus saja bahan mabuk itu. Lima peratus saja, apalah sangat berkira tuan ini. Lima peratus pun tiada boleh." Ratu Kamarul Ajaib segera meningkah. Seakan-akan baginda tahu apa dalam fikiran mamak kita. Tatkala menyebut `lima peratus' itu dijerit-jerit sehingga menyembur-nyembur air liurnya menyinggah-nyinggah di seluruh muka. Parameswara tiada ia melayan saranan isterinya. "Pulanglahlahlah, carikan satu istiadat atau makanan kalau Melayu itu berbincang ia menjadi hormat dan molek belaka kerana Melayu ini penuh santun dan falsafah jugalahlahlah." Harulah mamak kita memikir. Andaikan ia tiada dapat mencipta satu makanan tatkala Melayu itu berunding maka takut pula saranan Permaisuri Kamarul Ajaib untuk menobatkan tuak itu menjadi rasmi. Adalah tuak itu arak juga. Maka arak itukan sudah dilarang dalam al-Quran. Pada ayat 219 surah al-Baqarah, Allah berfirman: "Dan mereka bertanyakan kamu wahai Muhammad perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak daripada kebaikannya. Hampir-hampir sahajalah mamak kita menjadi buntu akal sampai ia melihat kita bemain-main dengan beberapa helai daun yang kita temui tertanam di luar rumah. "Apa gerangan kamu Lepat bermain daun? Marilah mamak lihat, takut ia beracun." Kita pun memberi daun itu kepada mamak. Adalah ayahanda saudara kita itu untuk menguji ia selamat atau tidak, memasukkan daun itu ke dalam mulutnya. Terasa pahit-pahit kelat tetapi macam nikmat seketika kala dikunyah. Mungkin dapat rasa ini menggantikan rasa masam-masam manis tuak itu. Gesitlah mamak kita mencari penduduk tempatan sayugia dikhabarkanlah daun itu bernama sirih. Suka benarlah hati mamak kita. Maka untuk diberi sedap mengunyah sirih itu dicarikan pula pinang, dicampur kapur, disumbat gambir dan sedikit tembakau. Semua itu dicantumkan menjadi satu. Pada hari yang elok mamak kita pun membawa kita menghadap Raja Parameswara dan Permaisuri Kamarul Ajaib. "Apa yang kamu persembahkan?" "Inilah sirih yang dimakan satu dengan bahan lain. Ia gunanya menunjukkan kehidupan orang Melayu itu sangat ingin ia akan hidup yang bersatu. Tiada gaduh-gaduh. Hendaklah orang yang punya adab itu ia menyusun tepak sirih, cara mengapur daun ini mestilah cendayam. Dapat ia digunakan dalam sebarang adat istiadat. Makan sirih pinang ini dapat mengingatkan Melayu akan hormat-menghormati, hendaklah ia berbudi bahasa, sentiasa bersatu padu, molek ia hidup beradat lagi berperaturan. Serta tiada ia menipu." Parameswara tertarik. Tetapi Permaisuri Kamarul Ajaib pura-pura menguap menunjukkan ia bosan. "Terangkan lagi darihal sirih pinang ini duhai Musa al Kazim." Mamak kita tersenyum. Kita di sisinya duduk sahaja merenung lantai istana daripada kayu cendana. "Inilah sirih ini setiap bahan yang dikunyah itu ada ia membawa pengertian tertentu." Permaisuri Kamarul Ajaib melentok-lentok kepalanya, bagai orang mabuk tuak juga, ternampak ia rama-rama yang sesat ke dalam balairong seri terus ia menyanyi, "Rama-rama, rama-rama..." "Ciittt...janganlahlahlah dilayani baginda permaisuri itu, ia lagi mabuk. Teruskan tuan menzahirkan apa eloknya sirih itu?" Parameswara menggalakkan. "Adapun sirih pohonnya memanjat dan akan ia itu mengharap sandaran, akan tetapi bila ia memanjat tidak pula merosakkan tempat ia bersandar. Tidak umpama pokok sakat atau pokok api-api, memanjat lagi menguasai. Maka sirih itu tuanku ertinya merendah diri, hendaklah kita kala berbincang itu memuliakan orang lain, tetapi tiada pula menafikan diri sendiri adalah pemberani." Parameswara membundarkan mata sambil menggaru-garu perut gendut. "Kapur itu tuanku didapati daripada kerang atau batu kapur. Adalah ia putih bersih. Kalau dimakan saja rasanya payau, sifatnya itu hangat dan melecurkan. Adalah kapur itu maknanya ia, yang putih bersih tapi jaga-jaga, jangan Melayu itu ditipu dan dipaksa kerana jika ia terpaksa, ia boleh juga menimbulkan kemarahan. "Rama-rama, rama-rama." Permaisuri terus menyanyi sambil meliuk-liuk. Bila seorang inang membuat isyarat getap bibir tanda suruh menjaga kelakuan barulah ia diam sekejap. "Sirih itu juga dimakan dengan gambir. Adalah gambir itu seperti yang tuanku lihat ia berwarna kekuningan. Untuk jadi ia seperti ini terpaksa ia melalui beberapa takah seperti perebusan dan penyaringan. Maka oleh gambir itu jadilah pemakan sirih itu sifatnya penyamak oleh rasanya yang kelat kepahit-pahitan itu membawa makna kecekalan hati." "Ajaib." Kata Parameswara. "Kita yang ajaib tuanku?" Soal Permaisuri Kamarul Ajaib memang sudah bingung tidak ingat. Parameswara tiada peduli. "Adapun pinang itu pokoknya kalau direnung lurus ia ke atas dan berbuah ia lebat dalam setandan. Buah pinang andai dikupas bentuknya bulat dan keras. Juga rasanya kelat. Andai dibelah dua ternampak hatinya yakni empulurnya yang keputihan. Itulah pinang yang menunjukkan kita ini semua daripada keturunan orang baik-baik kerana tinggi dan lurusnya. Melayu selalu sedia pula membuat sesuatu dengan hati yang terbuka, dengan segala kesungguhan." Parameswara suka cita sekali. "Daun tembakau kita hiris dan kita keringkan agar tahan ia sampai lama. Tembakau itu rasanya pahit, dan sifatnya sedikit memabukkan. Ini tandanya Melayu itu tabah dan sedia berkorban. Maka kalau kita sedang berbincang, adalah tepak sirih yang lengkap dengan isinya itu membawa ia maksud hormat tetapi janganlah pula memandang rendah sampai tiada memberi peluang mempertahankan darjat. Adalah tuanku kita mencipta sirih pinang ini guna untuk raja-raja dan kaum bangsawan. Hendaklah ia jadi makanan beradat sebelum dan sesudah makan. Untuk rakyat biasa, menyambut tepak sirih dan memakan sirih itu adalah menghubungkan tali persaudaraan. Hidangan tepak sirih jadi suatu keraian dan rasa besar hati dikunjungi musafir. Sekapur sirih dikunyah untuk menambah erat persaudaraan. Ramuan-ramuan sirih itu bagi cantik diisikan ke dalam pelbagai cembul boleh ia disorong dalam pelbagai istiadat Melayu. Inilah yang lebih baik daripada setempayan tuak tuanku. Inilah sirih kita persembahkan sebagai daun budi." "Jadi tiada tuak untuk minum?" Permaisuri Kamarul Ajaib sedikit murka. Nyaris ia melondehkan kembannya. "Tiada." Kata mamak kita tegas sambil menyambung, "Adapun agama kita Islam melarang tuak. Adapun pendita dalam agama kita Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar itu berkata: `Akan dibangkitkan pada hari kiamat orang peminum tuak itu bermuka hitam, biru matanya, keluar lidahnya sampai ke dadanya, mengalir air liurnya, tiap orang yang melihat akan jijik kepadanya kerana busuk baunya. Kamu jangan memberi salam kepada pemabuk dan jangan melawatnya jika mereka sakit dan jangan menyembahyangkan jika ia mati." Permaisuri Kamarul Ajaib terkulat-kulat dimarahi. Parameswara bertitah lagi, "Hairan agama kamu ini. Bolehkah beta mempelajarinya." Berserilah-serilah muka mamak kita. Begitulah, maka sampai pekan lain kita akan berkisah lagi. Sebelum pergi ingatlah pesan kita janganlah tuan-tuan minum arak atau tuak takut nanti jadi lemah dan berlahlahlah seperti Parameswara atau berama-rama-rama seperti halnya Kamarul Ajaib yang tiada ajaib itu.

No comments: