Wednesday, March 26, 2008

Dang Shakuntala....Gundik Ku Yang Pandai Masak Ikan Tuna

KATA sahibul hikayat yakni Tun Lepat, inilah hakir tukang menyampaikan. Syahdan setelah Parameswara menganut agama Islam, tiadalah banyak ia berubah. Melainkan ia tetap jua melangsungkan perangai zaman jahiliah dan tahyulnya. Janganlah tuan-tuan berasa hairan kerana apabila seseorang mengaku ia beriman, belum tentu ia beriman. Kerana iman itu ditunjukkan pada keelokan perangai. Keimanan itu tiada dapat diukur menerusi pengakuan semata-mata. Mengaku sahaja tiada menjadi dalil kerana segala jin pun boleh juga mengaku beriman tetapi hasil daripada iman itulah yang dapat kita jadikan ukuran.
Adalah Tuhan Rabbul Jalil pun ada menyebutkan hal ini apabila ada orang Badwi padang pasir mengaku ia beriman setelah mengucap dua kalimah syahadah. Maka Allah pun berfirman menegur, dan disampaikan kepada Nabi Muhammad yang menjadi paksi munasabah dalam alam yang fana ini; bunyinya ayat empat belas surah al Hujurat itu begini: "Orang-orang Arab badwi itu berkata: "Kami telah beriman." Katakanlah kepada mereka: "Kalian belum beriman, akan tetapi katakanlah bahwa kami telah tunduk kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kalian."Adapun sudah beberapa purnama Parameswara itu memeluk Islam. Baginda telah merubah nama kepada Sultan Iskandar Syah. Ia memerintah Melaka dari tahun 1389 sampai tahun 1391 Masihi. Aduhai tuan-tuan, nama boleh sahaja berubah dan menjadi berbagai-bagai nama tetapi kalau perangai tiada elok dikata orang jua. Oleh kerana Permaisuri Kamarul Ajaib masih lagi belum pulih dirawat di Rembau, maka Parameswara pun jadi pening-pening ajai. Terkenang-kenanglah ia akan permaisuri yang suka melondehkan kain kemban batiknya itu. Maka jadilah Parameswara teramat rindu. Akan tetapi tiada ia mahu memanggil Permaisuri Kamarul Ajaib selagi tiada sembuh kerana bimbang pula ia kembali ke tabiat lamanya iaitu minum-minum tuak sampai mabuk tertonggeng. Suatu hari yang tiada cerah tiada mendung baginda Parameswara pun didekati oleh bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar yang bertanya kepadanya, "Ampun tuanku beribu ampun, inilah sembah patik harap diampun. Apakah tuanku besok mahu berangkat belayar ke pulau-pulau jajahan di pesisir pantai Melaka menabur janji untuk pembangunan?" Parameswara yang berasa bosan dan lesu tiada mahu terlibat apa pun melainkan tidur. "Sungguh panas negeri Melaka, selepas santap tiada lain boleh dibuat melainkan tidur juga. Inilah gerau kita Hang Musa itu pandai betul ia memasak. Kalau santap sahaja mahu tidur rasanya." Tun Perpatih mengeluh dalam diam. Kadangkala sewaktu bendahara Tun Perpatih muncul menyembah laporan darihal negeri, waktu itu jugalah Parameswara serasa mahu terlena. Kadangkala waktu Dato' Temenggung berkisah darihal kemungkinan Siam menyerang Melaka dan kebarangkalian Melaka membayar ufti kepada Siam, Parameswara pun terlayang dan tersengguk mengantuk. Kadangkala waktu Syahbandar masuk melaporkan perihal harga beras dari Pegu mulai mahal di Pelabuhan Melaka, Parameswara pun macam mamai. Ketahuilah Tun Perpatih yang Parameswara perlukan seorang isteri. Mungkin gundik sementara, buat menggantikan ketiadaan Permaisuri Kamarul Ajaib; kerana apa gerangan negeri Melaka mahu menjadi negeri cemerlang andai dapat seorang pemerintah yang lesu, dan tidak bertenaga serta asyik menguap pada setiap kali upacara. Akan tetapi apabila esok tiba, Parameswara pun berubah fikiran dan bertitah bahawa ia mahu keluar belayar ke pulau-pulau berdekatan. Maka sakitlah hati bendahara kerana semalam titahnya raja itu lain, hari ini titahnya raja itu lain pula. Sekejap ia bicara lain, sekejap kemudian bicara lain. Bohong sungguh Parameswara itu kuat ia makan siakap senohong gelama ikan duri. Adapun tuan-tuan adalah wajar Tun Perpatih berasa sakit hati kerana persediaan untuk baginda keluar belayar bukanlah calang-calang. Hendak disediakan jong dan jongkang seratus buah. Hendak disiapkan sampan lima ratus buah untuk mengiring. Hendak dinaikkan baginda itu bukan di atas kapal biasa. Adalah Parameswara mesti ia naik lancang pemujangan. Dalam lancang itu akan ikut naik segala perdana menteri, hulubalang, masing-masing pula dengan kenaikannya. Lancang tersebut tuan-tuan, rupa tiangnya seperti pohon kayu, rupa tunggul dan panji-panji seperti awan berarak, rupa payung segala raja itu seperti mega, kalau rombongan baginda keluar belayar maka tumpatlah rupanya laut. Akan tetapi apalah dapat dikatakan, hendak mengeluh pun tiada guna. Tun Perpatih dengan hati penuh geram mengikut sahaja. Sudah nasib orang Melaka yang tidak peduli diperbodohkan kerana mendapat pemerintah seperti Parameswara. Tatkala baginda datang ke kota itu, orang laut yang berpenghuni di Melaka telah gatal memilih Parameswara tanpa menggunakan akal. Maka kalau ada celaka atau petaka atau kesusahan hendaklah terima sahaja. Tiada dapat disalahkan orang lain. Maka disiapkan lancang kuning untuk baginda. Sekarang moleklah kiranya hakir memberi kepada empunya hikayat untuk bercerita. Adapun yang punya cerita adalah Tun Lepat bukan hakir juga. "Itulah berangkat duhai Hang Seleri, belayar rombongan Parameswara ke serata pulau berdekatan. Belayar rombongan itu sampai menuju ke Tanjung Tuan." Kala tiba di Tanjung Tuan, turunlah Parameswara ke pantai untuk bersiram dan berenang. Tidak semena-mena ternampaklah Parameswara seorang gadis pingitan teramat lengkap sifatnya umpama tujuh laksana. Tubuhnya kecil rendah rambunai. Mukanya bujur daun sirih. Dahi sehari bulan. Kening berbentuk taji. Hidung kuntum seroja. Telinga telipuk kayu. Rambutnya rosmah sahaja, mengerbang kembang. Pipi pauh dilayang. Bibir pati dicarik. Gigi delima merekah. Leher gamba dilarik. Dadanya bidang awak. Lengannya baur panah. Jarinya tombak serai. Pinggangnya secekak jari manis. Paha seperti paha belalang. Betisnya bunting padi. Tumitnya telur burung. Itulah cukup kita perikan, kalau berlebih-lebih tiada had nanti jatuh haram. Gadis itu bernama Dang Shakuntala, digelar orang di Tanjung Tuan - si Kuning kerana kulitnya kuning ketam, ia sedang mengayuh sampan menangkap ikan sambil bernyanyi berdendang: "Sepasang sirip tak terlihat, umpama ikan yang berendam, jadi rintik, rintik air ... menciptakan; ombak yang terpilu." Maka Parameswara pun terasa aneh akan syair yang baitnya sungguh tiada serasi dan masuk dek pendengarannya. Maka dititahkan hulubalang supaya dikejar gadis itu dan diperiksa siapakah gerangannya. Maka terjadilah adegan kejar-mengejar di mana Dang Shakuntala berkayuh amat pantas, ligat ia melompat sampai terselak kain kembannya. Terus ia berlari tidak jejak atas tanah, meniti di atas pucuk-pucuk pohon kelapa langsung dapat bersembunyi di kampungnya yang bernama Kampung Nekmat. Mengah-mengah hulubalang mengejar dari jauh. Parameswara sudah ia naik berahi kerana mengenangkan kecantikan Dang Shakuntala, disuruh juga mencari gadis tersebut meskipun ia isteri orang. Maka apabila bertemu, baginda tanpa segan silu serta tanpa berlengah pun memegang bahu dan lengan Dang Shakuntala yang terdedah itu, langsung dipaut pinggangnya, dan diramas tangan si Kuning tanda vanakam ia kerana sukacita selamat berkenalan. "Ampun tuanku beribu ampun. Apa hal tuanku memegang-megang mesra pacal begini sedangkan pacal ada mendengar tuanku sudah memeluk Islam." Begitu Dang Shakuntala berani menyelar Parameswara. Janganlah tuan-tuan berasa ajaib akan keberanian gadis Tanjung Tuan ini, kalau tuan-tuan rajin memakan ikan selar pun maka tuan-tuan akan berani menyelar raja, senekad tadi. Parameswara pun naik murka. "Citt, beta Islam bukan hari-hari. Depan gerau Musa itu beta Islam lah. Lagipun beta jenis lanang yang mesra dan suka pegang-pegang." Maka dipaksa, diculik dan dilarikan Dang Shakuntala dibawa pulang ke Istana Melaka. Adalah Dang Shakuntala belum ia bersuami tetapi tuan-tuan bukan ia tiada punya ibu bapa untuk dihayak ke sana ke mari tanpa kebenaran. Adalah haram perbuatan Parameswara. Kita ini orang Islam kalau bukan muhrim tiada izin Tuhan dan Nabi untuk memegang-megang begitu, apatah pula meramas dan menggosok bahu serta lengan seumpama tadi. Menangislah sehari-harian Shakuntala tiada ingat sampai ditadah air matanya bertempayan banyaknya. Rasa sedih sekali sampai sekian jin pun turut bermurung bermuram durja. Tiada Shakuntala mahu melayan Parameswara. Duduk sahaja ia dalam kamarnya menunjuk rasa. Diminta cium sedikit pun tiada mahu ia beri. Parameswara pun bertambahlah murka kerana tiada dapat gomol, langsung dipanggil Tun Perpatih bertanyakan apa gerangan Shakuntala berani mengada-ngada dengan raja. "Gundik beta datang bulan barangkali." Bendahara menggeleng tidak bersetuju: "Tuanku, ampunkan patik. Adalah sesudah disiasat patik dapati Shakuntala suka ia memasak-masak. Kalau tuanku dapat izinkan ia masuk ke dapur istana dan memasak bersama gerau diraja Sayyid Musa al Kadzim mungkin ada tolak ansurnya ia sesudah itu." Begitulah pendapat Tun Perpatih. Parameswara berseri wajah dan memuncungkan mulutnya seperti bibir ikan puyu. Baginda memanggil mamak kita masuk menghadap. "Wahai Hang Musa, kalau tiada Dang Shakuntala ini berlembut hati selepas belajar memasak dengan tuan di dapur maka akan beta perintahkan supaya anak saudara tuan yang bernama Lepat itu ditangkap dan digoreng masak kicap. Tiadakah tuan tahu beta ini juga sekali-sekala makan orang?" Serabutlah otak mamak kita memikirkan bagaimana caranya mahu memujuk Dang Shakuntala menerima Parameswara, kalau tidak matilah kita. Sangkanya Parameswara sesudah menerima Islam akan menjadi baik tetapi menjadi ia bertambah zalim. Janganlah tuan-tuan hairan, memang dalam sejarah Islam pun ramai raja yang Islam hari tertentu, kejam pula pada hari tertentu. Misalnya Khalifah Harun ar Rasyid tersohor sudah ia pemerintah yang kaya dan konon warak tetapi tiada pula dikhabarkan oleh juruhebah, dan diselindungkan hakikat ia itu kerjanya membunuh ulama. Antara orang alim yang syahid menjadi mangsa ialah Imam Musa al-Kadzim hidup ia antara tahun 128 ke 183 Hijrah. Jenazah alim itu dibiarkan terkujur di jambatan Baghdad tiga hari selepas dibubuh racun dalam bubur gandumnya. Semua atas titah Harun ar Rasyid kepada al-Sanadi bin Syahik, menteri hal ehwal penjara tanpa bicara. Masuklah Dang Shakuntala ke dapur, dan bersama-sama mamak kita ia pun memasak sejenis lauk kegemaran ayahnya. Sambil ia memasak menitiklah air matanya daripada sedikit menjadi banyak berjujuhan, oleh terkenang keluarganya. Dang Shakuntala memerapkan dua ekor ikan tongkol kecil dengan empat keping asam gelugur, diperap juga dengan sesudu besar garam dan dituang setengah cawan air mata. Ikan perap ditenggek atas dapur sampai kering airnya. Dibiarkan ia semalaman, barulah diasing dan dibuang tulangnya. Kemudian dipanaskan minyak lalu ditumiskan bawang, cili, dan daun limau purut sehingga ia masak. Setelah itu dituang sedikit garam dan ikan tongkol. Lalu dituangkan lagi setengah cawan air mata dan ditumislah sehingga kering. Adapun bahan tumis tadi sembilan tangkai cili hijau yang ditumbuk kasar dengan dua biji labu bawang besar dan empat helai daun limau purut. Maka siaplah sejenis lauk diberi nama tongkol perap tumis hijau. Kalau dimakan dengan lauk terung dan ulam-ulam seperti pucuk gajus dan pucuk bebuas, hati yang rusuh menjadi senang. Jiwa yang senang menjadi tenang. Adapun kala Dang Shakuntala itu sedang menyediakan lauk tadi, mamak kita pun memasuk jarum. "Apakah tuan mendengar seorang perempuan mulia diberi nama ia Asiah, telah ia menjadi penghulu wanita di sorga Tuhan?" Dang Shakuntala menggeleng. Mamak kita berasa sebak di hati. "Apakah tuan ini beragama Islam?" Dang Shakuntala menyahut. "Islam untuk semua bukan? Kita sedia menyahut Islam kalau ia agama yang baik dan penuh kebajikan." Mamak kita sayu di hati. "Apa yang tuan cari dalam hidup ini duhai anakanda Dang Shakuntala?" Tanya mamak kita. Bergenang air mata gundik Parameswara. "Kita bukan mencari harta bertimbun, kita bukan mencari uang berjuta, kita hidup bukan berfoya-foya mamak gerau. Kita ingin kenal Tuhan Rabbi, kita ingin kenal Nabi. Kita mahu ambil ia jadi panduan. Kita mencari damai abadi." Gesit mamak kita mencelah memintas syair yang teramat indah itu. "Sungguh damai abadi itu tiada ia di dunia ini melainkan ia letak di negeri abadi bernama akhirat.Adalah Tuhan berfirman dalam surah Hud ayat lima belas dan enam belas: "Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka telah usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan." Dang Shakuntala pun lagi menangis. "Apalah nasib kita ini mamak gerau. Bukankah tuanku Parameswara itu sudah masuk Islam? Apa gerangan kita ini ingin ditiduri juga secara paksa? Sungguh berahi dan kibar ia tidak ingat." Menangis jugalah mamak kita sambil ia menuturkan firman Tuhan pada surah at-Taubah ayat tujuh puluh tujuh: "Maka Allah menurunkan kemunafikan pada hati mereka sampai saatnya mereka menemui Allah, kerana mereka itu telah mengingkari apa yang telah mereka ikrarkan kepada Allah dan kerana mereka itu selalu berdusta." Dang Shakuntala mengesat air matanya, terduduk ia di ceruk dapur di celah periuk belanga sambil menampar-nampar pipi dan mengetuk-ngetuk dahi sambil hingus keluar dari lubang hidungnya. Habis mukanya yang lawa itu kena arang dan jelaga dapur. Mamak kita bersuara memujuk. "Anakanda Shakuntala, Allah ada mengatakan pada surah al-Baqarah ayat dua ratus enam belas: Dan boleh jadi kamu kurang menyukai sesuatu sedang ia berguna kepadamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia merosakmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." "Perikanlah perihal perempuan bernama Asiah itu." Tersedu-sedu Shakuntala. "Adalah ia perempuan mulia yang menyembunyikan keimanannya. Ia itu beriman kepada Nabi Musa. Di samping itu, ia menjadi isteri atau permaisuri raja negeri Mesir yang amat zalim. Ia beroleh keuntungan akhirat kerana kekal beriman. Adapun kalau tuan lepas pun adalah mustahil kerana Parameswara pasti mahu juga tuan menjadi gundiknya. "Baiklah tuan paksakan baginda bernikah dengan tuan dengan tempoh tertentu. Tuan yang meletak janji, Parameswara yang mesti memenuhi. Bila tamat tempoh maka tuan pun menjadi bebas dan bolehlah tuan kembali ke Tanjung Tuan bermain-main dengan ikan tongkol dan ombak yang terpilu." Kata mamak penuh pengharapan. Fahamlah Dang Shakuntala helah dan permainan mamak. Maka ia pun menganut agama Islam. Berjanjilah ia untuk kekal beriman di sebalik perangai Parameswara yang sentiasa berubah-ubah sekejap senonoh sekejap entah apa-apa itu. Maka dihidangkanlah lauk ikan tongkol perap tumis hijau kepada Parameswara. Teramatlah sedap rasanya kerana sudah ditumis dengan air mata Shakuntala. Gundik itu berbuat syarat kalau mahu ditiduri tiada boleh begitu sahaja kerana itu namanya zina melainkan bernikah jua sepertinya hal Zubair al Awwam dan Asma' binti Abu Bakar. Maka sukacitalah Parameswara, santap ia lauk ikan tongkol kemudian dibawa Dang Shakuntala ke kamar peraduan. Selang beberapa lama ia pun dihantar pulang ke Tanjung Tuan. Mujurlah tiada Dang Shakuntala bertembung dengan Permaisuri Kamarul Ajaib kerana pekan hadapan raja perempuan Melaka akan kembali dari Rembau.

No comments: